LEE (dua dari kiri) menunjukkan sijil cuti sakit palsu serta cop yang dirampas.
LEE (dua dari kiri) menunjukkan sijil cuti sakit palsu serta cop yang dirampas.
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Tempah saja menerusi SMS atau pergi sendiri ke kedai menjual alat tulis di Jalan Medan Niaga Pasar, berdepan Stesen Bas Slim River, dekat sini.

Di lokasi itu, pelanggan boleh mendapatkan sijil cuti sakit berserta tandatangan pegawai perubatan yang dijual pada harga RM18 hingga RM25 sekeping.

Bagaimanapun, kegiatan pengusahanya berakhir selepas kedai itu diserbu anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, jam 7.15 malam kelmarin.

Dalam serbuan itu, seorang wanita berusia 33 tahun ditahan kerana mendalangi penipuan terbabit sejak 2011.

Ketua JSJK negeri Superintendan Lee Ewe Kiang berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang doktor bahawa identitinya digunakan individu tertentu untuk mendapatkan sijil cuti sakit.

Katanya, susulan itu serta hasil maklumat awam, pihaknya menjalankan risikan selama seminggu sebelum menyerbu kedai berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, sijil cuti sakit itu dijual pada harga RM18 bagi pelajar manakala RM25 sekeping bagi pelanggan yang sudah bekerja. Sebahagian besar pelanggannya membabitkan kakitangan awam, pekerja swasta dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

“Pelanggan perlu membuat tempahan menerusi SMS sebelum datang ke kedai berkenaan bagi mendapatkan sijil cuti sakit, malah ada yang terus ke premis terbabit,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurut beliau, setiap sijil cuti sakit yang dibekalkan disalin semula daripada salinan asal sebelum suspek mengisi butiran pelanggan.

Lee berkata, pemeriksaan di kedai itu menemui empat buku catatan nama pelanggan, 13 keping sijil cuti sakit kosong dilengkapi nombor siri palsu dan tujuh keping Sijil Cuti Sakit dan Pelepasan Waktu Hospital Slim River palsu.

“Pemeriksaan turut menemui puluhan keping sijil cuti sakit palsu, 20 cop lengkap dengan nama dan jawatan serta nama beberapa hospital di seluruh negara.

“Suspek kini direman untuk membantu siasatan dan usaha mengesan individu lain yang turut terbabit dalam sindiket itu masih berjalan. Kami menyeru majikan yang ragu-ragu dengan sijil cuti sakit diterima supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:44 AM