Pelancaran Formula 1 Grand Prix Malaysia 2017 yang terakhir, malam tadi. FOTO Bernama
Pelancaran Formula 1 Grand Prix Malaysia 2017 yang terakhir, malam tadi. FOTO Bernama


Kuala Lumpur: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) melancarkan kempen terbarunya bagi penganjuran kali terakhir Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia 2017 bertemakan ‘F1NALE’, malam tadi.

Grand Prix F1 Malaysia 2017 akan berlangsung dari 29 September hingga 1 Oktober.

Ia akan menampilkan pelbagai aktiviti dan produk menarik bagi meraikan 19 tahun penganjuran F1 di negara ini, termasuk semua harga tiket baru.

“Daripada bersedih dengan penganjuran kali terakhir perlumbaan ini, SIC dan Petronas merancang menjadikan acara tahun ini menarik dan bersejarah untuk semua.

“F1 adalah acara yang berjaya dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri sukan permotoran dan sektor pelancongan sukan Malaysia.

“Impak perlumbaan itu dirasai dan ia akan terus kekal kerana menonjolkan Malaysia di peta dunia,” kata Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman, berkata Petronas turut berkembang baik menerusi kerjasama dengan pelbagai pasukan F1.

Katanya, terbaharu bersama juara dunia tiga kali, Mercedes AMG Petronas Motorsport.

Grand Prix Malaysia yang kali pertama diadakan pada 1999, adalah sebahagian daripada sejarah SIC kerana Litar Sepang dibina khas untuk Malaysia menganjurkannya.

Bersama penaja utama Petronas, SIC bukan sekadar menganjurkan perlumbaan di litar itu.

Malah, pihak itu juga mengasah bakat pelumba muda seperti Jazeman Jaafar dalam perlumbaan GT dan Nabil Jeffri pada Siri GP2.

Bagi meraikan ‘F1NALE’, peminat berpeluang bertemu pelumba F1 menerusi beberapa aktiviti termasuk forum khas buat peminat di bandar raya ini sebelum perlumbaan pada hujung minggu.

Bagi menarik lebih ramai peminat menyaksikan perlumbaan itu, SIC akan menjual tiket pada lebih rendah.

Harga tiket bagi Grandstand Utama dijual RM336.18 manakala Grandstand F1 dan Grandstand K1 dijual, masing-masing RM169.68 dan RM225.18.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 8:28 AM