Pegawai SPAD mengiringi Ahmad Sohaimi untuk didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan memujuk orang awam membeli tiket di Terminal Bas Ukir Square pada 25 Januari lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Pegawai SPAD mengiringi Ahmad Sohaimi untuk didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan memujuk orang awam membeli tiket di Terminal Bas Ukir Square pada 25 Januari lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Meor Riduwan Meor Ahmad


Sungai Petani: Seorang 'ulat tiket' didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, atas tuduhan memujuk orang awam membeli tiket bas di Terminal Bas Ukir Square, di sini, Januari lalu.

Tertuduh, Ahmad Sohaimi Othman, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakim Harun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan perkhidmatan bagi mendapatkan upah membawa penumpang di kawasan terminal bas pada 25 Januari lalu, jam 12.05 tengah hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Raihana Halmi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen manakala tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 12:08 PM