Ng diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada penjawat awam di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Ng diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada penjawat awam di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU lori dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM300 kepada penjawat awam, tahun lalu.

Tertuduh, Ng Jian Dar, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mohd Fauzi turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ng didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM300 kepada penjawat awam iaitu Ketua Pembantu Penguat Kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Ahmad Shafiee Jelani sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman dan menyita lori yang didapati permitnya tamat tempoh.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh ketika operasi bersepadu pemeriksaan kenderaan di Batu 3, Jalan Kluang-Mersing, Kluang, 12.15 tengah hari, 12 Mei 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Nor Syarina Raizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 11:38 AM