Sarang penagihan dadah di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang dirobohkan. FOTO Mohd Hasbi Sidek
Sarang penagihan dadah di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang dirobohkan. FOTO Mohd Hasbi Sidek
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dang Wangi memusnahkan tiga rumah setinggan yang menjadi ‘sarang’ penagihan dadah di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini, pagi tadi.

Operasi merobohkan struktur setinggan itu bermula jam 10 pagi dan mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Alam Flora.

Ketua Pegawai AADK Daerah Dang Wangi Mohamad Hanif Omar berkata, tindakan itu satu daripada Program My Beautiful Malaysia di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Kami mendapati tiga setinggan yang dibina secara haram di kawasan semak berkenaan menjadi tempat untuk penagih melepaskan gian.

"Justeru, pagi ini kami memusnahkan tiga struktur itu dalam usaha membersihkan Kuala Lumpur daripada pemandangan kurang enak sekali gus menutup peluang kepada penagih untuk menagih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 11:49 AM