PASANGAN kekasih ditahan selepas  baru selesai menagih dadah di sebuah hotel.
PASANGAN kekasih ditahan selepas baru selesai menagih dadah di sebuah hotel.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Sepasang kekasih pengotor dikesan ‘bercengkerama’ di dalam bilik hotel murah sambil melepaskan gian dengan menyuntik dadah heroin ke tubuh.

Pasangan berusia 30-an itu yang sedang khayal bagaimanapun terkejut apabila bilik hotel terletak di Jalan Raja Laut di sini, digempur pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dalam operasi jam 10 malam kelmarin, pasangan itu enggan membuka pintu selama lebih 20 minit selepas diketuk berulang kali oleh pegawai dan anggota AADK.

Bagaimanapun, mereka akhirnya membuka pintu sebelum ditemui dalam keadaan khayal selain keadaan bilik yang berbau busuk dan kotor.

Difahamkan, pasangan kekasih itu menyewa bilik hotel itu sejak beberapa hari lalu dan dipercayai menjadikannya ‘sarang’ melepaskan gian.

Harian Metro yang mengikuti operasi itu bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut menemui beberapa jarum suntikan dan peket kecil dadah disorokkan pasangan itu di dalam laci almari.

Ketika soal siasat dilakukan, mereka tidak mengaku menagih dadah dan memberitahu tinggal di hotel itu atas urusan peribadi.

Ketua Pegawai AADK Dang Wangi, Muhammad Firdaus Amram berkata, pasangan itu ditahan dan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Jalan Tuanku Abdul Halim untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, seramai 113 individu berusia 19 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi dilakukan di sekitar Chow Kit, Masjid Negara, dan Puduraya.

“Pemeriksaan air kencing mendapati 81 individu terbabit positif mengambil pelbagai jenis dadah dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau memberitahu, operasi bersepadu dilakukan itu memfokuskan kawasan seperti hotel murah, rumah flat dan lorong yang menjadi tempat penagih dadah berkumpul.

Menurutnya, operasi membanteras penagih dan pengedar dadah ini akan dilakukan daripada semasa ke semasa untuk membenteras gejala negatif itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 8:16 AM