ANZALNA Nasir.
ANZALNA Nasir.
Ramlah Zainal


Usia perkahwinannya sudah mencecah lebih setahun selepas diijabkabulkan tanggal 21 Februari tahun lalu.

Namun, bagi pelakon jelita Anzalna Nasir, 29, dan suami, Mohamad Hanif Zaki, mereka masih dalam ‘mood’ berbulan madu.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia. Sepanjang setahun berehat, saya fokus pada rumah tangga yang baru dibina. Terus terang kami belum puas hidup berdua.

“Selain menjalankan rutin dan tanggungjawab sebagai isteri, saya juga memasak untuk suami, antaranya sambal telur ikan bilis.

“Mujur suami tidak cerewet soal makan dan senang menjaganya. Suami juga suka masakan kampung seperti masak lemak siput sedut.

“Saya juga bertuah kerana dekat dengan rumah ibu mentua yang memang suka memasak dan kami selalu makan di rumahnya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Anzalna Md Nasir ini mengakui dia dan suami tidak tertekan setiap kali ditanya soal cahaya mata.

“Kami tidak merancang. Ikutkan, saya sudah bersedia untuk bergelar ibu tetapi belum ada rezeki.

“Kedua, mentua tak pernah beri tekanan soal anak kerana mereka sangat memahami.

“Kami ada buat pemeriksaan kesihatan dan tiada masalah untuk dapat anak. Kami baru kahwin setahun dan serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Kembali dengan watak antagonis

Pelakon yang menempa nama menerusi drama rantaian 137 episod Memori Cinta Suraya ini mengakui rindu untuk kembali beraksi depan kamera.

Lebih mengujakan, suami tercinta turut memberi restu untuknya kembali berlakon.

“Ikutkan, memang berat hati berjauhan dengan suami tapi duduk goyang kaki di rumah pun bosan juga.

“Selagi belum ada anak, biarlah saya berlakon dulu. Lagipun, saya sudah berehat lama dan ramai produser bertanya bila nak kembali berlakon.

“Memang suami mampu menampung hidup kami tetapi berlakon memang minat saya sejak dulu. Duit hasil lakonan selalunya saya gunakan untuk membeli-belah saja,” katanya.

Bagaimanapun, kata Anzalna, wanita yang sudah berkahwin perlu memiliki harta dan karier sebagai jaminan masa depan.

“Mungkin saya sudah memiliki suami yang sempurna seperti Hanif tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Jika sesuatu berlaku dalam rumah tangga, kita sudah ada aset dan karier untuk teruskan kehidupan,” katanya.

Terbaru, Anzalna bakal beraksi dalam drama Tuscan Passion sebanyak 100 episod terbitan Global Station Sdn Bhd yang akan memulakan pengambaran tidak lama lagi.

Apa yang menarik, Anzalna kembali dengan watak antagonis bergandingan dengan pelakon hebat Nabila Huda.

“Saya sudah bosan melakonkan watak baik dan sebab itu memilih karakter antagonis untuk drama ini.

“Watak baik memenatkan berbanding watak antagonis. Saya juga sukar menolak tawaran Global Station kerana sudah tahu cara kerja mereka.

“Selain itu, watak antagonis tidak memerlukan saya berada di lokasi setiap hari. Jadi dapatlah saya meluangkan masa dengan suami di rumah,” katanya.

Antara drama lain lakonannya ialah drama bersiri 16 episod yang juga adaptasi novel berjudul Alruna bergandingan dengan Saharul Ridzwan yang bersiaran di saluran Astro Ria pada September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:53 AM