Pelakon, Amar Baharin. FOTO Hazreen Mohamad
Pelakon, Amar Baharin. FOTO Hazreen Mohamad
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Amar Baharin, 38, menjelaskan dirinya mungkin boleh dikatakan 'struggle' (bergelut) kerana persaingan dengan banyak hero-hero baharu sekarang.

Menurutnya, dia juga dikira sudah tua dan perlu menyesuaikan diri dengan trend sekarang.

"Sekarang ini mungkin orang suka drama-drama Korea. Jadi kita cubalah juga buat drama konsep begini. Jangan orang tak nak tengok, kita buat juga.

"Kalau boleh bagilah produk yang sesuai dengan keadaan zaman untuk orang mudah terima.

"Namun saya tidak panik dengan apa yang berlaku kerana rezeki masing-masing. Dah hampir 15 tahun saya berlakon, semuanya okey sahaja," katanya.

Suami kepada pelakon Amyra Rosli ini menyifatkan rezeki datangnya dari Allah dan dia perlu memberikan komitmen terhadap kariernya.

"Yang penting kena jaga attitude (perangai), tiada isu dengan penerbit serta stesen TV. Saya pun tiada gosip yang tak baik dalam karier.

"Saya bersyukur dan selesa dengan apa yang ada. Kadang-kadang macam cuti raya sebelum ini, hampir sebulan saya tak berlakon.

"Saya tak perlu panik. Pada bulan Jun ini saya sudah ada tawaran buat drama episod yang panjang. Jangan risau sangat dengan rezeki," katanya.

Amar menekankan soal disiplin sangat penting buat seseorang pelakon dan jika tiada masalah disiplin pasti akan diambil berlakon.

"Kita ada banyak saluran TV seperti Astro dan RTM yang ada beberapa saluran. Selain itu, ada juga platform TV internet.

"Jika tiada orang ambil berlakon, mungkin seseorang pelakon itu yang bermasalah. Itu yang boleh dikatakan," jelasnya.

Drama terbaru Amar berjudul Puteri Lindungan Bulan sebanyak 40 episod baru sahaja ditayangkan di TV3, selain ditayangkan menerusi iQIYI.

"Ini drama episod saya yang paling panjang di TV3. Kalau dulu, saya berlakon drama paling panjang Hati Yang Dikhianati sebanyak 147 episod untuk Astro.

"Akan datang saya akan berlakon dengan Global Station untuk siri panjang juga tapi mereka janji hasilkan 50 episod dulu untuk permulaan.

"Saya suka buat siri panjang kerana saya boleh 'lock' satu karakter itu dan tak payah fikir banyak kali. Kalau saya tukar drama baru, kena fikir karakter baru, wardrobe baru, stail terbaru dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, dia tidak merasa bosan terbabit dengan drama episod panjang dan bertuah dapat membintangi drama sebegini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 1:01 PM