PENDUDUK di Khan Sheikhun mengebumikan mangsa yang terbunuh dalam serangan senjata kimia tentera Syria, semalam.  - AFP
PENDUDUK di Khan Sheikhun mengebumikan mangsa yang terbunuh dalam serangan senjata kimia tentera Syria, semalam. - AFP
Agensi

Ankara: Turki semalam berkata, bedah siasat terhadap tiga warga Syria yang terbunuh dalam serangan tentera Presiden Bashar al-Assad di Idlib, barat laut Syria mengesahkan penggunaan senjata kimia.

Bedah siasat dilakukan terhadap tiga mayat yang dibawa dari Idlib. Keputusan bedah siasat itu mengesahkan penggunaan senjata kimia.

“Siasatan saintifik ini juga mengesahkan tentera Syria menggunakan senjata kimia,” kata Menteri Kehakiman Bekir Bozdag.

Dia bagaimanapun tidak memberi butir lanjut.

Tiga puluh dua mangsa yang cedera dihantar ke selatan Turki untuk dirawat tetapi tiga daripada mereka mati di hospital.

Sekurang-kurangnya 86 orang maut dalam serangan awal Selasa lalu di Khan Sheikhun itu dan puluhan lagi masih menjalani rawatan selepas mereka mengalami kekejangan dan muntah.

Menurut Bozdag, bedah siasat dilakukan pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pertubuhan larangan Senjata Kimia di Adana, wilayan di selatan Turki.

Presiden Turki, pengkritik lantang Bashar kelmarin menggelar Presiden Syria itu pembunuh selepas mengecam masyarakat antarabangsa kerana berdiam diri berkait dengan serangan itu.

Sementara itu, keputusan bedah siasat di Turki akan dihantar ke The Hague di Belanda untuk pemeriksaan tambahan, kata Menteri Kesihatan Turki, Recep Akdag.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 5:50 AM