Mangsa serangan senjata kimia di Idlib, dikebumikan dalam kubur besar. Seramai 86 orang disahkan maut akibat serangan gas sarin oleh regim Bashar dengan puluhan lagi sedang dirawat.
Mangsa serangan senjata kimia di Idlib, dikebumikan dalam kubur besar. Seramai 86 orang disahkan maut akibat serangan gas sarin oleh regim Bashar dengan puluhan lagi sedang dirawat.
Agensi

Ankara: Turki mengesahkan bedah siasat terhadap tiga warga Syria yang terbunuh dalam serangan udara regim Presiden Bashar al-Assad di barat laut Syria menunjukkan mereka mati akibat senjata kimia.

AP melaporkan, Menteri Kehakiman Bekir Bozdag berkata, bedah siasat itu dilakukan terhadap tiga mayat yang dibawa dari Idlib dan keputusannya mengesahkan mereka mati akibat senjata kimia.

“Siasatan saintifik ini juga mengesahkan tentera Syria menggunakan senjata kimia,” katanya namun tidak memberi butir lanjut.

Seramai 86 terbunuh akibat senjata kimia dipercayai gas sarin di Khan Sheikhundan, Selasa lalu, 32 mangsa yang cedera dihantar ke Turki untuk dirawat.

Menurut Bozdag, bedah siasat dilakukan pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pertubuhan larangan Senjata Kimia di Adana, selatan Turki.

Menurut AFP, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, menggelar Presiden Syria itu sebagai pembunuh manakala Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault, berkata “Akan tiba harinya Bashar al-Assad dihukum kerana membunuh rakyatnya dengan kejam”.

“Jenayah ini tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman. Dalam semua kes, ada siasatan (suruhanjaya PBB).. akan ada perbicaraan jenayah perang,” katanya kepada saluran berita CNEWS.

Perancis mendesak resolusi PBB mengecam serangan itu namun menrut Ayrault, ia sukar kerana sering dibantah oleh Russia dan kadang-kadang China yang mempunyai kuasa veto.

Russia yang menyokong regim Assad, masuk campur sepenuhnya dalam perang saudara di Syria pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 7:30 PM