AKTIVIS Mexico membantah serangan kimia di Syria dan campur tangan Amerika Syarikat di depan kedutaan AS di Mexico City. - AFP
AKTIVIS Mexico membantah serangan kimia di Syria dan campur tangan Amerika Syarikat di depan kedutaan AS di Mexico City. - AFP
Agensi

Washington: Penasihat keselamatan kebangsaan Presiden Donald Trump menggesa Russia mempertimbang semula sokongannya terhadap pemimpin Syria, Bashar Assad, selain membayangkan kemungkinan tindakan ketenteraan tambahan terhadap Damsyik.

Dalam temu bual pertamanya yang disiarkan di televisyen, H R McMaster berkata, Amerika Syarikat (AS) mempunyai dua sasaran iaitu mengalahkan kumpulan militan Daish dan menjatuhkan Bashar.

Katanya, memandangkan Setiausaha Negara Rex Tillerson bakal melakukan lawatan rasmi pertama pentadbiran Trump ke Russia minggu ini, McMaster berkata, Moscow perlu memutuskan sama ada terus menyokong ‘rejim pembunuh.’

Katanya, Trump kini mempertimbang langkah seterusnya selepas mengarahkan serangan udara di Syria, minggu lalu.

“Tidak mungkin penyelesaian politik mampu dicapai di Syria selagi rejim Bashar berkuasa.

“Jadi negara lain juga perlu bertanya kenapa mereka menyokong rejim yang membunuh rakyatnya sendiri beramai-ramai,” katanya.

Menurutnya, logiknya Russia tahu mengenai rancangan serangan menggunakan bahan kimia memandangkan mereka juga mempunyai pegawainya di Syria.

“Buat masa ini, satu dunia melihat Russia sebahagian daripada masalah itu.

Katanya, objektif serangan udara AS minggu lalu sebagai mesej politik tegas untuk Bashar supaya berhenti menggunakan senjata kimia.

Dia juga tidak menolak kemungkinan serangan tambahan dilakukan jika Bashar masih meneruskan kekejaman terhadap puak penentang tidak kira sama ada dia menggunakan senjata kimia atau biasa.

Sementara itu, Kementerian Luar Russia menyelar serangan peluru berpandu AS di Syria minggu lalu sebagai tindakan agresif terhadap kerajaan berdaulat yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Ia dinyatakan dalam kenyataan selepas panggilan telefon antara menterinya Sergei Lavrov dengan rakan sejawatan dari Iran, Mohammad Javad Zarif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 7:36 AM