KEADAAN  bangunan hospital di wilayah Idlib  yang musnah dalam serangan udara dilakukan rejim Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya.
KEADAAN bangunan hospital di wilayah Idlib yang musnah dalam serangan udara dilakukan rejim Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Semua hospital di wilayah Idlib musnah dibom tentera rejim Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya dalam operasi serangan udara besar-besaran Damsyik untuk menawan wilayah yang masih dikuasai kumpulan antikerajaan berkenaan.

Terbaru, Hospital Kafr Nabil yang dilengkapi Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menjadi pusat kemudahan hospital lengkap terakhir berfungsi di wilayah berkenaan dibom pesawat Russia dibantu tentera udara Bashar.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Britain, Hand In Hand for Syria mengesahkan perkara itu kepada akhbar dalam talian Midle East Eye.

Konsultan Media Syria Care, Razali Awang berkata, pihaknya turut dimaklumkan rakan NGO yang membantu penduduk Syria bahawa sekurang-kurangnya empat serangan udara dilakukan dengan menjadikan hospital itu sebagai sasaran.

“Selain kelengkapan di ICU, serangan turut memusnahkan semua kemudahan perubatan lain termasuk wad kardiologi dan pusat kanser.

“Hospital berkenaan juga menjadi satu-satunya pusat rawatan yang dilengkapi kemudahan rawatan akibat serangan senjata kimia.

“Serangan pada Isnin lalu itu tidak membabitkan korban jiwa kerana pihak pengurusan sedaya upaya mengosongkan bangunan selepas menerima maklumat hospital terbabit menjadi sasaran serangan,” katanya.

Sehari sebelum serangan berkenaan, katanya, hospital di Maaratul Nu’man yang turut terletak di wilayah Idlib musnah teruk dibom pesawat Russia dan tentera regim Bashar.

“Hospital tidak boleh dijadikan sasaran dalam mana-mana peperangan pun. Namun di Syria, pengeboman terhadap hospital bukan saja berlaku sekali malah berulang-kali,” katanya.

Orang ramai yang berminat menghulurkan bantuan boleh menghubungi Syria Care menerusi talian 03-55234077 dan 011-28809820 atau melalui e-mel, financemanager.syriacare@gmail.

Sumbangan juga boleh dihulurkan menerusi akaun Syria Care iaitu Maybank 562106653575, CIMB Islamic Bank 8601894560, RHB Bank 26225000021775 atau Affin Islamic Bank 105990040004.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:31 AM