ANGGOTA bomba meneruskan operasi SAR di kawasan sungai di Tongod, Kinabatangan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba meneruskan operasi SAR di kawasan sungai di Tongod, Kinabatangan. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana


Kinabatangan: Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa banjir lumpur di Ladang Sen Fu, Tongod, Kinabatangan, awal pagi Sabtu lalu, di kawasan sungai, pagi tadi.

Operasi SAR bermula 7.30 pagi itu membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Sandakan, Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah Khatizah Rahaban berkata, operasi SAR tertumpu kepada mencari mangsa di sepanjang Sungai Pinangah, Sungai Melikup dan Sungai Million Tongod.

"Akibat banjir lumpur di Ladang Sen Fu, Tongod, awal Sabtu lalu, lapan mangsa hilang dan daripada jumlah itu lima mayat sudah ditemui Selasa lalu dan satu lagi mayat ditemui semalam di Sungai Milian.

"Kini operasi SAR giat dijalankan oleh pasukan penyelamat untuk mengesan dua lagi mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi SAR turut dibantu oleh penduduk kampung menggunakan enam buah perahu.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi Sabtu lalu, 11 sekeluarga hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur akibat tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Tiga daripada mangsa iaitu Jaliha Madayan, 50, dan suaminya Abdul Kamalayan, 50, bersama anak lelaki mereka Joshnam berusia 18 tahun ditemui selamat di Sungai Penangah, pagi Sabtu lalu.

Akibat kejadian itu, lapan termasuk tiga cucu mereka hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 10:54 AM