ANTARA lokasi operasi mencari mangsa yang hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur di Ladang Sen Fu, dekat Tongod, Kinabatangan. FOTO ihsan BombaIHSAN BOMBA
ANTARA lokasi operasi mencari mangsa yang hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur di Ladang Sen Fu, dekat Tongod, Kinabatangan. FOTO ihsan BombaIHSAN BOMBA
Norasikin Daineh


Kinabatangan: Tiga mayat dipercayai mangsa yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Ladang Sen Fu, dekat Tongod, ditemui di dua lokasi berasingan.

Difahamkan, dua mangsa pertama ditemui malam tadi oleh penduduk Kampung Masaum dan satu lagi ditemui di Kampung Mangkawago, pagi tadi.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tertumpu kepada mencari dan mengambil mangsa yang timbul di dua kawasan yang berlainan.

"Berdasarkan maklumat, satu mangsa timbul di Kampung Mangkawagu dan dua mangsa timbul di Kampung Masaum," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khatizah berkata, perjalanan ke tempat kejadian mengambil masa dua jam menggunakan bot dari Keningau.

"Operasi pencarian pada hari keempat ini diteruskan di kawasan timbunan kayu, batu dan lumpur yang dibawa oleh banjir di kawasan Pinangah, Tongod.

"Bagaimanapun, jumlah mangsa yang masih hilang belum dapat disahkan dan pihak kita sedang mendapatkan maklumat yang sah daripada pihak polis," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, sembilan sekeluarga warga Filipina hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur akibat tanah runtuh di Ladang Sen Fu.

Dua daripada mangsa iaitu Jalikha Malingkut, 50, dan suaminya dikenali sebagai Abdul, 50, ditemui selamat manakala tujuh lagi anak mereka dan cucu yang berusia lapan hingga 17 tahun hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 10:33 AM