PATI limau nipis.
PATI limau nipis.
ASPEK kebersihan diutamakan.
ASPEK kebersihan diutamakan.
MOHAMAD Naim bersama ahli keluarga dan kakitangan syarikatnya.
MOHAMAD Naim bersama ahli keluarga dan kakitangan syarikatnya.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Prinsip hidup usahawan muda ini begitu mudah, jika mahukan sesuatu yang diimpikan perlu ada minat dan usaha.

Justeru, Mohamad Naim Mohamad Johar, 21, anak jati Sri Medan, Batu Pahat, Johor itu memberanikan diri mengubah diri daripada ejen penjual minuman dan kepada pemilik Syarikat Eima Food.

Kursus jangka pendek ditawarkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Johor mengubah landskap hidupnya.

Siapa sangka bengkel sehari termasuk latihan amali bersama ibu bapanya, Mohamad Johar Ahmad, 56, dan Ngatimah Ithnin, 51, mengilhamkan untuk mengeluarkan produk minuman sendiri.

Gabungan kepakaran MARDI dan formulasi sendiri membolehkan syarikat diterajuinya mengeluarkan minuman berperisa limau nipis berjenama Eimajo yang menggunakan gula tanpa kalori, sucarlose.

Jika dulu, ramai yang mengkritik dan memperli dirinya, kini segala tohmahan itu ditepis.

Dengan suntikan modal ibu bapanya berjumlah RM40,000, Mohamad Naim memasarkan produknya ke negeri ini.

Mohamad Naim yang juga pengurus syarikat itu berkata, pembabitannya dalam bisnes minuman berlaku tanpa disengajakan.

“Ketika itu seorang exco kerajaan negeri mencabar saya mengeluarkan produk sendiri.

“Cabaran itu rupanya membuka langkah kanan dengan mengikuti bengkel pemprosesan minuman dianjurkan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

“Saya membawa ibu bapa bersama supaya lebih fokus,” katanya.

Dengan pelaburan kira-kira RM900, mereka mencipta resipi sendiri dan beroperasi di rumah,” katanya.

Selain MARDI katanya, dia juga dibantu FAMA, Johor dan Jabatan Pertanian Batu Pahat.

“FAMA membantu dari aspek perlabelan, manakala Jabatan Pertanian menawarkan bantuan RM10,000 termasuk mesin penapis,” katanya yang mendapat geran pelekat kordial daripada Pusat Pembangunan Usahawan Negeri Johor (EDC).

Menurutnya, kurang persaingan menjadi faktor syarikat itu memfokuskan pengeluaran minuman berperisa limau nipis.

“Saya memasarkan minuman ini di kantin sekolah di sekitar Batu Pahat, koperasi dan universiti,” katanya yang mengeluarkan 5,000 karton sebulan.

Bagi jangka panjang, Mohamad Naim merancang melebar sayap ke seluruh negara, selain mengeluarkan minuman berperisa nanas.

Layari laman facebook: eimafood atau Naem Johar serta e-mel: [email protected] untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:01 AM