Imam Wahyuddin dan Jonius Ondie (kanan) dihukum penjara 25 tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengebom kelab malam Movida. FOTO Aizuddin Saad
Imam Wahyuddin dan Jonius Ondie (kanan) dihukum penjara 25 tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengebom kelab malam Movida. FOTO Aizuddin Saad
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun masing-masing terhadap dua lelaki atas kesalahan menyokong kumpulan pengganas Daesh dan mengebom pusat hiburan Movida di Puchong, Jun 2016, yang menyebabkan lapan cedera dalam kejadian letupan itu.

Hakim Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur, Imam Wahyuddin Karjono, 21, dan pekerja kilang, Jonius Ondie@Jahali, 25, selepas kedua-duanya menukar pengakuan bersalah, ketika masuk hari kedua perbicaraan semalam.

Mahkamah memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman itu, bermula dari tarikh tangkap, iaitu Imam Wahyuddin pada 29 Jun 2016 manakala Jonius pada 1 Julai tahun sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membaling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius jenis 'Fuze M213' sehingga menyebabkan kecederaan terhadap lapan orang di premis itu.

Perbuatan mereka itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan satu perjuangan ideologi serta dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di negara ini.

Kesalahan itu dilakukan di Movida Boulevard, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, kira-kira 2 pagi, pada 28 Jun lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 130C (1)(b) Kanun Keseksaan yang boleh hukum di bawah peruntukan sama yang dibaca bersama 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Selain itu, Imam Wahyuddin turut didakwa menyokong kumpulan Daesh dengan cara bersumpah setia melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan Gagak Hitam, jam 2.28 pagi 30 Mac 2016, manakala Jonius pula menyokong kumpulan sama, jam 8.44 malam 15 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 7:07 PM