Jonius dibawa polis ke mahkamah. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Jonius dibawa polis ke mahkamah. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Iskandar Shah Mohamed


Klang: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan di sekitar daerah ini, antara Mac hingga Julai lalu.

Tertuduh, Jonius Ondie@Jahali, 24, mengangguk faham akan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Mariam Maran Abdullah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan satu perjuangan ideologi dan menggugut orang awam di Malaysia menerusi aplikasi Telegram.

Perbuatan itu dilakukan di Bandar Armada Putra, Pulai Indah di sini, antara 25 Mac hingga 1 Julai lalu.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas harta yang digunakan untuk tujuan kesalahan itu.

Mariam membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali untuk sebutan semula kes yang ditetapkan pada 7 September depan.

Bulan lalu, Jonius dan seorang lagi individu turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan melakukan perbuatan pengganas dengan mengebom sebuah pusat hiburan di Puchong sehingga menyebabkan lapan cedera, Jun lalu.

Dia dan Imam Wahyudin Karjono, 20, didakwa mencapai niat bersama membaling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius lever jenis 'Fuze M213' sehingga menyebabkan kecederaan terhadap semua mangsa di pusat hiburan Movida Boulevard, Bandar Puchong Jaya, Puchong, kira-kira jam 2 pagi, 28 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 12:40 PM