Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Tiga anggota polis termasuk seorang pegawai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan berasingan menerima dan meminta suapan berjumlah RM20,000 dalam kejadian pada 2015 dan tahun lalu.

Tertuduh, Isa Ahmad, 30, yang berpangkat inspektor, serta konstabel Rhomarino Rafie, 33, dan S Logeshvaran, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Isa meminta suapan sebanyak RM1,000 daripada wanita sebagai dorongan untuk membebaskan seorang suspek daripada lokap.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Penasihat Undang-Undang Nusajaya di sini, pada 3.30 petang, 23 Disember 2015.

Rhomarino pula didakwa terhadap dua pertuduhan meminta suapan berjumlah RM17,000 terhadap wanita sama bagi membebaskan suspek lelaki yang ditahan di lokap selepas ditangkap polis pada 19 Disember 2015.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) dan kedai makan berdekatan IPD berkenaan antara 2 petang dan 5 petang, pada 21 Disember 2015.

Kesalahan itu Isa dan Rhomarino dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Manakala Logeshvaran pula didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2,000 sebagai dorongan untuk tidak mengganggu dan menangkap pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja sah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di stesen minyak di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah di sini, pada jam 2 petang dan 4 petang, pada 12 Jun tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu Logeshvaran didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 1:38 PM