Reuters

Mosul: Tentera Iraq menangguhkan serangan untuk menawan barat Mosul daripada militan Daish semalam selepas jumlah kematian orang awam yang tinggi, kata pegawai.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan mengenai laporan satu insiden ketika pertempuran pada 17 Mac lalu yang membunuh dan mencederakan puluhan orang awam di daerah al-Jadidah di Mosul.

“Kami terkejut dengan jumlah kematian yang tinggi ini,” kata penyelaras kemanusiaan PBB untuk Iraq, Lise Grande.

Pertahanan awam dan penduduk melaporkan ramai orang awam ditimbus runtuhan bangunan selepas serangan udara terhadap militan Daish mencetuskan letupan besar.

Seorang wakil rakyat dan dua penduduk memberitahu, serangan udara itu mungkin mengenai trak yang penuh dengan bahan letupan yang memusnahkan beberapa bangunan di kawasan yang padat dengan penduduk.

Ketua pertahanan awam, Mohammed Al-Jawari memberitahu wartawan, pasukan penyelamat mengeluarkan 40 mayat dari runtuhan bangunan.

Penduduk yang melarikan diri dari barat Mosul memberitahu, serangan udara tentera Iraq dan Amerika Syarikat (AS) memusnahkan bangunan dan membunuh orang awam.

Militan juga menjadikan orang awam sebagai perisai manusia dan menembak mereka sekiranya cuba melarikan diri dari kawasan kejiranan yang dikuasai Daish.

“Jumlah kematian orang awam yang tinggi di bandar berkenaan menyebabkan kami terpaksa menghentikan operasi bagi menyemak semula pelan kami.

“Kini adalah masa untuk mempertimbangkan pelan baru serangan dan taktik,” kata seorang jurucakap polis Iraq.

Operasi yang dibantu tentera bersekutu diketuai AS itu masuk bulan keenam dan kini tentera Iraq berjaya menawan keseluruhan bahagian timur dan sebahagian barat Mosul.

Menurut kerajaan Iraq, sejak operasi menawan semula barat Mosul itu bermula pada bulan lalu lebih 200,000 penduduk di kawasan itu menjadi pelarian.

Kemaraan tentera Iraq menjadi perlahan sejak dua minggu lalu apabila pertempuran memasuki lorong sempit di bandar itu.

Bandar lama itu menempatkan Masjid al-Nuri tempat pemimpin Daish, Abu Bakr al-Baghdadi mengumumkan pemerintahan khalifah di sebahagian besar kawasan di Iraq dan Syria pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:00 AM