PEJUANG Kurdis bertahan di satu kedudukan di barisan hadapan berhampiran kampung Tall al-Tibah, dekat Mosul, kelmarin. - AFP
PEJUANG Kurdis bertahan di satu kedudukan di barisan hadapan berhampiran kampung Tall al-Tibah, dekat Mosul, kelmarin. - AFP
Reuters

Qayyara, Iraq: Tentera Iraq semalam menguasai semula sebuah kawasan penduduk Kristian berhampiran Mosul yang ditawan militan Daish sejak 2014, dalam misi membuka laluan untuk menawan bandar berkenaan.

Tentera Iraq dalam satu kenyataan memberitahu, askar memasuki tengah Qaraqosh, sebuah bandar yang majoritinya penduduk Kristian dan terletak kira-kira 20 kilometer dari tenggara Mosul.

Askar kini membuat operasi memburu saki-baki militan Daish di bandar berkenaan dan mara menawan sebuah kampung Kristian, Karamless.

Keseluruhan penduduk di kawasan itu melarikan diri pada musim panas 2014 selepas ditawan kumpulan Daish.

Pada awal minggu ini, unit khas tentera Iraq juga berjaya menawan Bartella, sebuah perkampungan Kristian di utara Qaraqosh.

Pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) meramalkan kurang 200 militan Daish berada di Qaraqosh.

“Saya melihat kubu di Qaraqosh. Saya menjangkakan ada kubu dan juga laluan menghubungkan setiap bangunan di situ,” katanya.

Operasi membebaskan Mosul yang bermula pada Isnin lalu itu adalah pertempuran terbesar di Iraq sejak pencerobohan AS pada 2003.

Tentera Iraq cuba mara dari selatan dan timur manakala pejuang Kurdis bertahan di barisan hadapan di timur dan utara.

Operasi menawan bandar terakhir dikuasai Daish di Iraq itu disokong serangan udara tentera bersekutu yang diketuai AS.

Sejak operasi bermula, kira-kira 50 buah kampung berjaya ditawan semula tentera Iraq yang membuat persediaan memasuki Mosul yang dipercayai dikuasai kira-kira 5,000 hingga ke 6,000 militan Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:08 AM