TERSERLAH kegembiraan sewaktu sampai di puncak.
TERSERLAH kegembiraan sewaktu sampai di puncak.
MENARIK ibarat lukisan.
MENARIK ibarat lukisan.
Nurul Husna Mahmud


Rinjani dengan ketinggian 3,726 meter dari aras laut ialah gunung kedua tertinggi di Indonesia dan tersenarai antara gunung berapi tercantik di dunia.

Laluan menuju ke puncak gunung itu diakui antara trek mencabar, namun itu bukan alasan mengelak kerana pemandangan indah ditempuh sepanjang jalan ke puncak sukar diungkap dengan kata-kata.

Justeru usaha menawan puncak itu bukan saja disertai 12 Pegawai Pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) malah Naib Canselor universiti itu, Datuk Dr Musa Ahmad turut menyertai ekspedisi Misi Kembara Muhibbah Menyelusuri Khazanah Bumi Lombok bersama Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) Dr Abdul Manan.

Musa menyifatkan biarpun jarak usianya jauh berbanding pendaki lain dalam ekspedisi ini, dia optimis dapat menawan puncak berbekalkan pengalaman pendakian Gunung Kinabalu sebanyak tiga kali.

“Saya bersyukur diberikan kekuatan serta kudrat mengikuti aktiviti pendakian seperti ini. Mendaki tidak dinafikan satu aktiviti mencabar, namun berbekalkan aspek ‘naqli dan aqli’ disemat sepanjang misi ini Alhamdulillah saya bersama pendaki lain sampai ke puncak.

“Lebih bermakna dalam misi pendakian ini sebahagian daripada kami bertolak lebih awal bagi melawat sekolah tahfiz di sana dan pada malam baru pendakian bermula. Kami tidak pergi dengan kosong, sepanjang pendakian itu kami turut berkesempatan menunaikan ibadah secara berjemaah, melaungkan azan Subuh serta melangsungkan sesi tazkirah,” katanya.

Selaku Komandan PALAPES USIM, dia yakin kumpulan ini membariskan mahasiswa terbaik selain melepasi semua penilaian ketat ditetapkan badan beruniform berkenaan. Malah menerapkan nilai tambah lain iaitu penekanan elemen ‘naqli aqli’ membuatkan pembawaan diri serta peribadi pasukan ini jauh berbeza dengan kumpulan lain.

“Sejak 2016, saya tetapkan sasaran ingin menjadikan pendakian ini sebagai satu perancangan perlu direalisasikan. Saya kukuhkan setiap peserta dengan kemahiran individu antaranya memasak dan sebagainya agar saling melengkapi.

“Sebaik tiba di Indonesia, kami mendapat khidmat pemandu arah terbaik membolehkan ilmu pendakian ini dapat dipelajari pegawai kami. Kami turut menerima reaksi baik apabila seorang pemandu arah memuji kumpulan USIM kerana dilihat mempunyai keperibadian berbeza berbanding kumpulan pendaki pernah ditemuinya,” katanya.

Pegawai wanita PALAPES USIM Hidayah Zulkifli tidak menafikan perjalanan menelan tempoh tiga hari tiga malam itu sesuatu yang benar-benar mencabar kekuatannya.

“Apabila mendaki gunung bukan saja kekuatan fizikal diperlukan malah mental serta emosi diperlukan dalam ekspedisi seperti ini. Nama pun gunung tentu saja pengalaman naik dari jam 1 pagi hingga 6.30 pagi itu boleh bayang betapa jauhnya perjalanan kami.

“Tatkala kami ingin ambil wuduk untuk dirikan solat Subuh, tangan seolah-olah beku apabila terkena angin dingin gunung. Tetapi apabila lihat pemandangan dari puncak semua rasa penat, sakit dan sejuk terus lupa.

“Sebelum itu macam-macam muncul di fikiran contohnya saya bimbang gunung ini meletus dan sebagainya. Apabila selamat sampai ke puncak saya bersyukur Allah mempermudahkan perjalanan kami,” katanya.

Mengenai persiapan sebelum ekspedisi, kata Hidayah, dia serta kumpulannya menjalani latihan mendaki gunung dalam negara terlebih dulu, antaranya G7.

“Setiap Sabtu dan Ahad kami menjalani latihan khas bawah kendalian jurulatih PALAPES. Latihan diberikan sangat susah seperti berlari dan kegiatan lasak.

“Disusuli pula latihan mendaki gunung serata Malaysia membuatkan kami kental untuk ekspedisi ini. Barang dibawa mendaki ialah kasut, stoking, mafla, lampu kepala, jaket (windbreaker), tongkat dan sebagainya. Standard muatan kami bawa ialah 70 liter memuatkan semua keperluan sepanjang ekspedisi terbabit,” katanya.

Sementara itu rakannya Soffiuddin Esa menyifatkan Gunung Rinjani menawarkan cabaran terbaik buat peminat sukan mendaki.

Katanya, meskipun mempunyai pengalaman mendaki beberapa gunung sebelum ini, cabaran Rinjani mempunyai kelas tersendiri.

“Ini gunung ke-17 yang saya daki. Setiap gunung mempunyai kesukaran baik segi bentuk muka buminya serta persekitarannya. Rinjani sendiri bagi saya treknya cukup mencabar kerana ada pelbagai jenis permukaan. Ada laluan berbatu-batu, bertanah kering, berhabuk, berlumpur, lereng yang sangat cerun, semak-samun mahupun pasir jerlus.

“Pengalaman saya sendiri apabila berjalan selangkah, ada permukaan tanah berpasir ini akan turun tiga langkah. Kesimpulannya ia mencabar dan menyeronokkan. Tidak lupa juga keindahan disajikan boleh dikatakan sehingga ke hari ini saya merindui saat di sana.

“Saya bersama rakan sempat menyaksikan matahari terbit dan cuaca pula baik sehingga boleh nampak gunung-gunung bersebelahan. Di Danau Anak Sengara juga antara tempat yang paling saya ingati kerana di situ ada tasik mempunyai banyak ikan dan air terjun air panas. Setelah penat mendaki dapat menikmati air panas, rasanya sungguh menyegarkan,” katanya.

Menyifatkan misi pendakian berkenaan amat bermakna apabila bukan saja merapatkan hubungan antara rakan sepasukan malah membuka persepsi mengenai aktiviti berkenaan juga boleh mendorong terhadap usaha kebajikan serta kemasyarakatan.

“Kesimpulannya program ini bukan semata-mata menawan Gunung Rinjani malah mengungkap usaha mengintegrasikan ilmu aqli dan naqli seperti mana misi universiti kami. Kami turut muatkan pendekatan ilmiah serta kerja kemasyarakatan dalam program riadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 6:21 AM