KHAIRY (kiri) dan Izham (tengah) pada pelancaran  Cabaran Sukan Lasak BDB.
KHAIRY (kiri) dan Izham (tengah) pada pelancaran Cabaran Sukan Lasak BDB.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Cabaran berakit lasak atau ‘BDB Rafting’ antara kelainan yang akan menemui peserta Cabaran Sukan Lasak Bina Darulaman Berhad (BDB) tahun ini sekali gus menjanjikan cabaran lebih ekstrem dan menyeronokkan.

Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusof berkata, beberapa perubahan dilaksanakan termasuk menambah cabaran baru BDB Rafting selain mengekalkan dua cabaran lain iaitu BDB Climb & Run dan BDB Extreme.

“Sejak edisi sulung pada 2016 yang memperkenalkan cabaran maraton, kami akan mengubah sedikit dengan memperkenalkan cabaran baru iaitu cabaran berakit lasak atau kami panggil BDB Rafting kepada peserta,” katanya kepada Arena Metro.

Berdasarkan jadual peringkat cabaran tahun ini, ia akan dimulakan di pulau legenda Mahsuri iaitu Langkawi sebagai lokasi pertama (Climb and Run) pada 22 April ini sebelum diteruskan ke Jitra (BDB Extreme) 23 September dan peringkat terakhir di Kulim (BDB Rafting) pada 18 November depan.

Beliau berkata, pihaknya tidak meletakkan sasaran jumlah penyertaan pada penganjuran kali ini dan ia terbuka kepada semua individu tempatan serta luar negara untuk turut serta.

“Bagi kami ini bukan acara untuk mendapatkan seramai peserta mungkin tapi lebih bertujuan untuk memberikan peluang kepada peserta menikmati keindahan alam negeri Kedah ketika mereka menyertainya.

“Malah menerusi penganjuran acara ini juga ia sebagai usaha menggalakkan masyarakat di negara ini mengambil bahagian dalam aktiviti riadah bagi mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

“Di samping itu, acara ini turut mendapat kerjasama baik daripada Kementerian Belia dan Sukan khususnya Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang saya percaya menyokong penuh usaha kami,” katanya.

Kepada peserta yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung Cabaran Sukan Lasak BDB menerusi laman web http://www.bdbtriplechallenge.my/ atau menghubungi talian 017-2017768 dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:09 AM