AFFINDI (kanan) dan Melissa bergambar bersama replika cek selepas muncul juara kategori lelaki dan wanita terbuka.
AFFINDI (kanan) dan Melissa bergambar bersama replika cek selepas muncul juara kategori lelaki dan wanita terbuka.
Hamzah Osman


Langkawi: Anggota tentera darat dan pegawai pemasaran masing-masing muncul juara kategori terbuka lelaki dan wanita cabaran sukan lasak Bina Darulaman Berhad (BDB) Climb & Run di sini, baru-baru ini.

Mohamad Affindi Nudin, 31, yang berasal dari Sarawak mencatat masa satu jam 38 minit dan 51 saat untuk menamatkan pendakian 4,287 anak tangga di ‘tangga helang seribu kenangan’ dan larian menaik serta menurun sejauh 20.5 kilometer, sebelum dinobat sebagai juara.

Menurutnya, kemenangan itu amat berharga buat jurulatih olahraga pasukan tentera darat itu kerana ia catatan kemenangan sebagai juara sukan lasak kali ketiga dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

“Bagaimanapun ini percubaan pertama saya dalam acara ini dan Alhamdulillah kerana berjaya mencatat kejayaan walaupun cabaran yang dihadapi khususnya mendaki lebih 4,000 anak tangga amat memeritkan.

“Saya akan terus berlatih dan pasti datang semula ke Langkawi untuk mempertahankan kejuaraan ini tahun depan,” katanya.

Kategori terbuka wanita menyaksikan seorang pegawai pemasaran yang juga pelari maraton Melissa Lim Yi Xin, 29, dari Kuala Lumpur, muncul juara selepas mencatat masa 2’19:51.

Dia yang kerap mengambil bahagian dan menduduki kelompok 10 peserta terbaik dalam acara larian jarak jauh di negara ini mengakui acara mendaki 4,287 anak tangga itu memberi cabaran besar kepadanya.

Kejayaan itu membolehkan Affindi dan Melissa membawa pulang wang tunai RM1,500 yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 9:07 AM