Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Kontroversi membabitkan tayangan filem Beauty and the Beast di Malaysia berakhir apabila ia akhirnya boleh ditayangkan di negara ini bermula pawagam 30 Mac ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Disney Malaysia, filem itu diluluskan tayangannya tanpa sebarang pemotongan babak dengan pengkelasan PG13.

Pihak Golden Screen Cinemas (GSC) turut memuat naik di laman Twitter berhubung tarikh tayangan baru filem berkenaan di negara ini.

Sebelum ini, pengedar filem itu The Walt Disney Co (Malaysia) Sdn Bhd memberitahu kajian semula secara dalaman adalah punca penangguhan tayangan filem itu di negara ini.

Filem ini terpalit dengan kontroversi apabila pengarahnya Bill Condon memberitahu majalah Attitude di United Kingdom bahawa watak Le Fou dilakonkan Josh Gad adalah seorang gay.

Ia mendapat pelbagai reaksi daripada penggemar filem itu, malah sebuah panggung wayang di Alabama, Amerika Syarikat turut mengharamkan filem itu daripada ditayangkan.

Selain itu, Rusia turut melarang kanak-kanak di bawah usia 16 tahun daripada menonton filem berkenaan.

Filem ini menampilkan lakonan bintang terkenal Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens (Beast) dan Luke Evans (Gaston).

Beauty and the Beast adalah filem animasi klasik Disney yang turut dicalonkan dalam Academy Awards menerusi kategori Filem Terbaik pada 1991.

Filem ini sepatutnya ditayangkan di Malaysia pada 16 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 9:58 PM