Halim berkata negara ini mempunyai undang undang. FOTO HM
Halim berkata negara ini mempunyai undang undang. FOTO HM
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan berganjak dengan keputusannya memotong babak berunsur homoseksual dalam filem terbitan Disney iaitu Beauty and the Beast.

Pengerusinya, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, negara ini mempunyai undang-undang dan mereka perlu mematuhi bagi menjaga keharmonian dan sensitiviti masyarakat.

Abdul Halim berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan portal AOL.com hari ini bahawa Disney akan menarik balik tayangan filem berkenaan di negara ini sekiranya LPF memotong babak berunsur homeseksual yang berdurasi empat minit itu.

Menurutnya, pihak LPF sebenarnya tidak ada masalah dengan filem berkenaan, malah sudah meluluskan filem lakonan Emma Watson, Dan Stevens, Luke Evans dan Josh Gad itu.

“Bagaimanapun, pihak pengedar filem itu di sini meminta kami menilai kembali babak berkenaan. Apabila dinilai semula kami bersetuju untuk memotong babak berkenaan,” katanya.

Abdul Halim berkata, pengedar boleh membuat rayuan dengan Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) jika mahu filem itu ditayangkan di sini.

Menurutnya, LPF akan mengadakan mesyuarat sebelum membuat keputusan untuk menayangkan filem itu atau tidak.

Terdahulu, filem Beauty and the Beast sepatutnya ditayangkan di sini mulai hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 6:51 PM