Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Siapa sangka watak penggali kubur yang sinonim dengan Nasir Bilal Khan dalam siri Penggali Kubur boleh dijadikan bahan komedi yang menarik.

Bahkan menerusi kreativiti tinggi kumpulan Shiro, gandingan ini begitu menjadi sehingga mencetuskan suasana gamat dalam Dewan Teater Diraja Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu.

Begitu juga dengan kebolehan Hazama yang mampu meniru suara raja rock, Datuk Ramli Sarip dan raja pop, Datuk Jamal Abdillah ketika tampil dalam persembahan Nabil juga menerima tepukan gemuruh penonton.

Inilah tarikan menarik Maharaja Lawak Mega 2014 minggu kelapan yang menampilkan tema 'Artis Jemputan'.

Pujian demi pujian diberikan oleh juri iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Farah Quinn, Taufik Batisah dan Fazura terhadap per­sembahan peserta bersama artis undangan masing-masing.

Bahkan pada sidang media, Taufik tidak habis-habis memuji Nasir kerana tampil dengan sisi yang berbeza.

"Saya tak sangka abang Nasir boleh buat lawak sampai saya terbatuk-batuk dan ketuk meja. Ini malam yang paling kelakar," katanya.

Jalaluddin pula membuka rahsia Nasir yang sebenarnya sangat pendiam ketika di lokasi penggambaran.

"Mereka yang kenal Nasir tahulah bagaimana dia di lokasi. Tapi malam ini dia rela dipermainkan dan pada akhir persembahan sempat pula buat gimik. Ini memang hebat," katanya.

Melihatkan kesungguhan dan persembahan semua peserta, tidak keterlaluan dikatakan ming­gu kelapan ini menjadi persembahan terbaik MLM2014 sepanjang berlangsung.

Bahkan, disebabkan 'mood' baik, semua juri sangat pemurah apabila memberikan jumlah bintang yang banyak kepada semua peserta.

Zero, Nabil, Shiro, Sepahtu dan Bocey masing-masing menerima lima bintang, manakala SYJ dan Virus menerima empat bintang. Hanya Jalor sahaja yang menerima tiga bintang daripada juri.

Pada malam itu, Virus tampil dengan pelakon Amyra Rosli, SYJ (Afdlin Shauki), Zero (Stacy), Nabil (Hazama), Jalor (Ogy Datuk Ahmad Daud), Sepahtu (Kamarol Haji Yusof), Shiro (Nasir Bilal Khan) dan Bocey (Puteri Balqis).

Pada masa sama, juri terpaksa melakukan tanggungjawab untuk memilih hanya yang terbaik dan meletakkan tiga peserta iaitu SYJ, Jalor dan Virus di tangga terbawah.

Bagaimanapun, mereka menarik nafas lega apabila Fazura mengumumkan tiada penyingkiran dibuat malam itu.

Farah pula memuji Zero kerana pandai mengimbangi persembahan mereka dengan artis jemputan.

"Saya puji mereka kerana tetap berjaya menghiburkan penonton biarpun ada Stacy.

"Begitu juga bintang tamu perlu 'masuk' dalam persembahan peserta dan bukannya 'over shadow' mereka," katanya yang turut memuji Shiro dan Sepahtu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya tidak akan mengulangi tema yang sama pada minggu berikutnya.

"Tak dinafikan, reaksi penonton rata-rata memuji persembahan peserta. Ia adalah minggu terbaik MLM 2014.

"Namun kami sudah menyusun tema setiap minggu dan minggu depan mereka akan tampil dengan komedi seram pula. Saya juga boleh maklumkan akan ada satu lagi minggu tanpa penyingkiran untuk MLM 2014," katanya.

Virus masih mencuba yang terbaik

Dua kali menduduki tangga terbawah seakan-akan memberi petanda masih ada yang tidak kena dengan persembahan Virus. Bahkan Jalaluddin menyifatkan sepanjang tujuh minggu bersiaran, hanya dua kali Virus berjaya mencuit hati mereka.

Bagaimanapun, beliau memberi pujian kali ini dan menyifatkan per­sembahan Virus sungguh menghiburkan.

Apapun, pendapat berbeza pula diberikan oleh peminat yang mengang­gap Tauke, Pak Yus dan Zizan tiada keserasian.

"Alhamdulillah, kami dapat pujian kali ini. Kami sentiasa berusaha buat yang terbaik tapi mungkin peminat nak tengok persembahan yang lebih lagi dari Virus. Biarpun menduduki tangga terbawah, undian kami masih baik berbanding dua peserta lain.

"Nak dikatakan keputusan minggu ketujuh jadi 'wake up' untuk kami tak juga kerana kami memang berhempas-pulas nak hiburkan peminat. Namun, ini yang dikatakan nasib kerana ada kala lawaknya menjadi dan ada kala tak," kata Zizan.

Tauke pula menyifatkan persembahan setiap peserta agak meningkat pada MLM 2014. Justeru, mereka akan bekerja keras mencari idea-idea baru untuk diketengahkan kepada

peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 11:57 PM