SAYOT
SAYOT
KEPOH
KEPOH
Oleh Norhayati Nordin

Persaingan minggu pertama Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) di Dewan Teater Diraja Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu mendapat sambutan hebat penonton yang menyaksikan 15 kumpulan pelawak popular iaitu Sepahtu, Shiro, Bocey, Virus, Nabil, Comey, Jalor, SYJ, Sayot, Kepoh, Ekzos, Samurai, Zero, Shake dan Wala berentap.

Namun ia bukan malam bagi kumpulan Sayot dan Kepoh apabila kedua-duanya diumumkan tersingkir. Mereka yang masih mentah di pentas lawak jenaka itu terpaksa akur dengan penyingkiran kerana memperoleh markah rendah.

Kepoh yang dianggotai Lizujuhan Hamzah atau Izu, Sufiian Shafri Ibrahim (Pian) dan Mohd Kamal Shah Sharuddin (Kamal) hanya mampu mengumpul markah 20.3 peratus.

Sayot yang diwakili Filzah Azmi atau Filzah, Mohd Hazwan Mohd Azani (One) dan Muhammad Rizam Zaafar (Zam JR) pula sekadar mencatat 23.3 markah.

Dihoskan Datuk AC Mizal, persembahan peserta dinilai empat juri profesional yang mewakili 70 peratus markah iaitu pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, Nur Fazura, Taufik Batisah (Singapura) dan Farah Quinn (Indonesia).

Ditemui pada sidang media diadakan, Izu berkata, Kepoh akur dengan penyingkiran itu kerana pengalaman yang kurang dan masih baru.

"Pentas MLM 2014 ini terlalu besar untuk kami. Namun, sebagai kumpulan pelawak baru, ia bonus kepada kami apabila diberikan peluang.

"Tak dinafikan, dengan pengalaman agak terbatas juga memberikan kami tekanan besar. Apatah lagi, kami bertiga menetap di tempat lain dan

terikat dengan kerja.

"Kepoh tak mampu membuat persediaan secukupnya. Namun, kami sudah berusaha memberikan persembahan yang terbaik.

Pian pula berkata, melihatkan persaingan yang mantap dan sengit daripada kumpulan lain, tekanan dihadapi Kepoh boleh dianggar tiga hingga empat kali ganda.

Katanya, Kepoh masih kekurangan pengalaman tetapi bernasib baik kerana kumpulan pelawak senior yang bersaing dalam MLM 2014 itu sedia membantu.

Kamal berkata, Kepoh yang masih terlalu mentah juga bermula daripada kosong. Jadi, semestinya untuk sebaris dengan kumpulan terbaik, Kepoh memerlukan masa.

Tidak mengganggap perjuangan Kepoh terhenti di situ dengan penyingkiran berlaku, Kamal berkata, mereka akan berusaha dengan lebih gigih pada masa akan datang.

Sayot silap percaturan

Meskipun diserapkan dalam 10 kumpulan terbaik secara automatik, namun Sayot gagal membuktikan kemampuan mereka memberi persembahan jenaka menghiburkan.

Buktinya, Sayot terpaksa reda kerana tersingkir bersama kumpulan Kepoh dengan perbezaan markah yang tidak begitu ketara.

Filzah yang mewakili dua lagi rakannya One dan Zam JR berkata, Sayot tersilap percaturan dalam memilih sketsa lawak dipentaskan.

Katanya, jika diikutkan soal persediaan sebenarnya Sayot sudah membuat persiapan untuk menghadapi persaingan MLM 2014 ini agak lama.

"Jadi, soal persediaan bukan masalah kami. Apapun, kami bertiga akui penyingkiran dilalui itu berpunca daripada strategi yang salah.

"Kami bertiga ambil mudah pada persembahan minggu pertama ini kerana berasakan tidak mungkin ada penyingkiran.

"Sayangnya, sangkaan kami meleset dan apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur. Masa tidak boleh diundur dan kami harus akur dengan penyingkiran ini," katanya.

Menurut Filzah, kalau diikutkan memang sedih, tetapi perjuangan Sayot sebenarnya baru bermula.

Turut mengakui anggota Sayot juga diselubungi perasaan tidak yakin dan rendah diri kerana masih baru dan kurang pengalaman, ia sedikit sebanyak mempengaruhi persembahan mereka.

Filzah berkata, sebagai kumpulan pelawak baru, Sayot tetap mengharapkan peluang daripada penonton dan peminat.

Katanya, Sayot akan berusaha lebih gigih lagi untuk memastikan mereka mampu berjaya pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Sepahtu menduduki kedudukan teratas dengan markah sebanya 54.2 peratus.

Mereka diikuti Virus (50.7 peratus), Comey (46.4 peratus), Jalor (46.3 peratus) Zero (45.2 peratus), Samurai (44 peratus), Nabil (39.1 peratus), Ekzos (36.8 peratus), SYJ (35.5 peratus), Bocey (34 peratus), Wala (32.1 peratus) dan Shiro (29.5 peratus).

MLM 2014 akan berlangsung selama 13 minggu pada setiap Jumaat, jam 10 malam dan disiarkan Astro Warna (saluran 132).

Selain markah juri profesional, undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton pula mewakili sebanyak 30 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:04 AM