Robin Rhodes. - Foto masslive.com
Robin Rhodes. - Foto masslive.com
Reuters

New York: Seorang lelaki menghadapi beberapa tuduhan, termasuk jenayah kebencian, menyerang, menahan dengan cara yang salah dan mengganggu selepas dia menyerang pekerja wanita Islam di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy.

Peguam Daerah Queens, Richard Brown, berkata Robin Rhodes, 57, dari Worcester, Massachusetts, menyerang Rabeeya Khan yang memakai tudung tanpa sebab melainkan hanya kerana wanita itu beragama Islam ketika mangsa sedang bekerja dalam pejabat Delta Airlines' Sky, Januari lalu.

“Tiada tolak ansur terhadap jenayah kebencian di Daerah Queens,” katanya dalam kenyataan selepas kes itu disebut di mahkamah, semalam.

Menurut pendakwa raya, Rhodes, yang sedang menunggu penerbangan sambungan selepas tiba dari Aruba, pergi ke pintu pejabat dan berkata kepada Rabeeya: “Kamu tidur? Kamu sedang bersembahyang? Apa kamu sedang buat?”

Dia kemudian menendang kaki kanan mangsa dan menghalang wanita itu daripada beredar dari situ.

Apabila Rabeeya berjaya keluar, dia mengekori wanita itu sebelum melutut dan bersujud - mengajuk perbuatan dalam solat umat Islam.

Lelaki itu kemudian menjerit: “Trump (Presiden Donald Trump) sudah datang. Dia akan uruskan kamu.”

Apabila polis datang dan menahannya, Rhodes berkata: “Saya rasa saya akan dipenjara kerana berkelakuan tidak senonoh.”

Dia yang dibebaskan dengan bon ikat jamin AS$50,000 (RM221, 850) dan ikat jamin tunai AS$30,000 (RM133,110) menanti perbicaraan Jun ini, menghadapi hukuman penjara sehingga empat tahun jika sabit kesalahan.

Portal berita Massachusetts, masslive.com, menyatakan Rhodes ialah Presiden NitroFreeze dan pusat penyelidikan syarikat itu, Institut Cryogenics di New England. Laman web syarikat dan institut berkenaan didapati di kemas kini dengan membuang nama Rhodes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 7:25 AM