HILLARY ketika berucap di kempennya di  Fort Lauderdale, Florida, semalam.  - EPA
HILLARY ketika berucap di kempennya di Fort Lauderdale, Florida, semalam. - EPA
Agensi

Washington: Donald Trump kini mendahului Hillary Clinton dalam kajian pendapat terbaru ABC News/Washington Post.

Calon Parti Republikan itu mengatasi pesaingnya dari Parti Demokratik dengan satu mata, memperoleh 46 peratus kemungkinan sokongan pengundi, berbanding Hillary, 45 peratus.

Hasil kajian itu memeranjatkan kerana sembilan hari lalu ia menunjukkan Hillary berada 12 mata di depan.

Ketika itu, Trump berdepan tuduhan salah laku terhadap beberapa wanita, termasuk memeluk dan mencium mereka tanpa kebenaran sementara Hillary dilihat akan menang pilihan raya pada 8 November depan tanpa banyak masalah.

Malah, sebelum Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengumumkan secara bertulis kepada Kongres Jumaat lalu mengenai rancangannya untuk menyiasat lebih banyak e-mel rahsia Hillary yang ditemui dalam pelayan peribadinya, populariti calon Demokrat itu sudah mula merosot.

Ahad lalu, Hillary hanya mendahului Trump dengan satu mata, tetapi semalam, dia di belakang pesaingnya itu.

Hasil kaji selidik terbaru itu menunjukkan Trump mendahului lapan mata dalam minat pengundi dengan 53 peratus pengundi berkata, mereka begitu berminat untuk mengundi bilionair hartanah itu sementara 45 peratus berkata, mereka berminat untuk mengundi Hillary.

Sembilan hari lalu, Hillary memperoleh 52 peratus sementara Trump, 49.

Kedudukan terbaik Trump sebelum ini ialah mendahului pencabarnya itu dengan dua mata pada lewat Mei selepas dia dinamakan calon Parti Republikan.

Bagaimanapun, pemerhati mengingatkan, kaji selidik yang dilakukan seminggu sebelum hari mengundi tidak akan menentukan bakal pemenang.

Seminggu sebelum pilihan raya empat tahun lalu, bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney berada satu mata di hadapan Presiden Barack Obama yang mempertahankan jawatan itu.

Bagaimanapun, Obama muncul pemenang.

Keadaan serupa berlaku pada 2004 apabila John Kerry yang mewakili Demokrat, mendahului satu mata di depan Presiden George Bush.

Tetapi, akhirnya, Bush menumpaskan Kerry dengan lebih dua mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 10:58 AM