PKS digesa manfaat platform perdagangan digital di India.
PKS digesa manfaat platform perdagangan digital di India.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula tempatan digalakkan mengambil peluang untuk meluaskan pasaran dengan memanfaatkan platform perdagangan digital di India berikutan potensi ditawarkan negara berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri J Jayasiri berkata, India adalah sebuah pasaran besar untuk diterokai dengan penduduknya mencapai 1.8 bilion dan permintaan memberangsangkan bagi sistem dan peralatan teknologi.

“Sejajar 2017 yang diisytiharkan sebagai ‘Tahun Ekonomi Internet’, kita perlu melihat pasaran lain dan mengambil bahagian dalam acara teknologi perniagaan bagi mendapatkan jangkauan lebih besar, sekali gus menjimatkan masa berbanding pergi ke negara itu secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas prapelancaran Ekspo dan Persidangan Teknologi Perniagaan ASEAN-India 2017 di sini, semalam.

Acara julung kali anjuran Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) itu akan berlangsung pada 24 hingga 25 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dibahagikan kepada tiga komponen iaitu pameran, persidangan dan anugerah kecemerlangan serta pencapaian ASEAN-India.

Menurutnya, peniaga tempatan dan ASEAN kini boleh mula meninjau peluang membuat pelaburan serta perdagangan produk dan perkhidmatan menjelang Perjanjian Perkongsian Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal dimuktamadkan, November depan.

Katanya, perjanjian itu bukan sahaja membabitkan pasaran dengan saiz populasi 1.8 bilion yang akan dipertingkatkan kepada 3.5 bilion, malah meluaskan rantaian bekalan yang bakal menyediakan peluang kepada perusahaan dalam pelbagai saiz.

“Perniagaan ASEAN dan India boleh menikmati kelebihan sebagai penggerak pertama melalui perjanjian ini jika mereka bersedia mengambil langkah berani dengan melabur dari sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama AIBC Datuk Ramesh Kodammal berkata, acara itu merangkumi industri berteknologi tinggi termasuk Internet Segalanya (IOT), mesin pintar, bantuan pelanggan digital automotif dan aeronautikal, bioteknologi serta farmaseutikal.

“Kami menjangkakan acara itu bakal dihadiri lebih 5,000 pengunjung dan menawarkan 120 ruang pameran yang bakal diduduki syarikat dari India, Malaysia dan negara ASEAN lain serta pada masa sama, kami sedang menimbangkan penyertaan syarikat dari beberapa negara lain,” katanya.

Aliran perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan India kekal sederhana dengan purata AS$67.96 bilion (RM302.22 bilion) dalam tempoh antara 2011 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:03 AM