ANGGOTA PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor menunjukkan beras yang dirampas. FOTO ihsan PPM
ANGGOTA PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor menunjukkan beras yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Peniaga wanita ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor bersama 79 kampit beras dan 20 kotak tepung beras yang diseludup dari Thailand di Kampung Semat Jal, semalam.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, suspek berusia 25 tahun yang memandu lori ditahan selepas diekori Unit Risikan Marin (URM) selama satu jam dari Pengkalan Kubor.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sebelum itu, URM melakukan risikan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan mendapati 79 kampit beras dan 20 kotak tepung beras keseluruhan bernilai RM5,550 di belakang lori terbabit.

"Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Akta Kawal Selia Padi Dan Beras Negara 1994," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 10:06 PM