Anggota PPM Pengkalan Kubor menunjukkan kereta yang dimuat diesel yang dipercayai untuk di seludup ke negara jiran, Thailand. FOTO ihsan PPM
Anggota PPM Pengkalan Kubor menunjukkan kereta yang dimuat diesel yang dipercayai untuk di seludup ke negara jiran, Thailand. FOTO ihsan PPM
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor merampas 30 tong plastik berisi 900 liter diesel dimuatkan dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback dalam serbuan di Kampung Pak Keral, di sini, petang semalam.

Sebelum serbuan kira-kira 6 petang itu, Unit Risikan Marin (URM) sudah melakukan intipan selama beberapa jam di kawasan berkenaan yang dipercayai tempat penyimpanan diesel seludup.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya percaya 30 tong plastik bernilai RM3,575 itu dalam proses untuk diseludup ke negara jiran.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat ketika serbuan, sementara diesel terbabit dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor.

"Kes di siasat mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967," katanya di sini, hari ini.

Selain diesel, kereta terbabit turut dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 1:39 PM