Suspek ditahan polis. FOTO  Abnor Hamizam Abd Manap
Suspek ditahan polis. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah, bertindak di luar batasan apabila menetak tiga saudaranya menggunakan parang di Felda Palong 5, di sini, 6 petang tadi.

Sumber berkata, suspek berusia 20-an dan berasal dari Johor bertandang ke rumah saudaranya di Felda itu sejak beberapa hari lalu.

Katanya, lelaki terbabit sebelum kejadian dipercayai mengambil dadah menyebabkannya tidak terkawal.

"Sebaik pulang ke rumah, lelaki itu bertindak ganas apabila menetak bapa saudara serta seorang saudara lelaki menggunakan parang.

"Disebabkan itu kedua-dua mangsa cedera di badan serta tangan," katanya.

Menurut sumber, sejurus kejadian suspek melarikan diri sebelum ternampak pasangan suami isteri yang juga saudaranya berada atas motosikal.

"Lelaki itu seakan gila apabila menikam perut seorang lagi saudara lelaki menyebabkannya parah," katanya.

Sumber itu berkata lagi, suspek meninggalkan lokasi dan berjalan sambil membawa parang hingga menakutkan penduduk.

"Sehubungan kejadian, penduduk menghubungi polis dan suspek ditahan di sebuah masjid di FELDA Palong 6, di sini, 8 malam tadi," katanya.

Menurutnya, ketika tangkapan suspek tidak berbaju dan bergelut dengan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor dihubungi mengesahkan kejadian dan kes masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 12:46 AM