Lakaran Kompleks Kesihatan yang dilengkapi hospital berkonsep hotel dikenali sebagai 'hospitel' di dalam USIM. FOTO ihsan USIM
Lakaran Kompleks Kesihatan yang dilengkapi hospital berkonsep hotel dikenali sebagai 'hospitel' di dalam USIM. FOTO ihsan USIM
Raja Noraina Raja Rahim

Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membina Kompleks Kesihatan yang dilengkapi hospital berkonsep hotel dikenali sebagai 'hospitel' di dalam universiti berkenaan.

Difahamkan, kompleks kesihatan itu turut menempatkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang akan dibina dengan kos keseluruhan RM1.3 bilion.

Pengarah Pejabat Penyelarasan Pembinaan kompleks itu, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Nasri Nik Ismail berkata, projek itu akan dimulakan dengan pembinaan bangunan FPSK di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan.

"Projek berkenaan akan bermula bulan ini dan dijangka siap pada Ogos tahun depan.Kita menyasarkan kemasukan penuntut perubatan baru bermula pada 2019.

"Kompleks itu juga mempunyai hospital dengan kapasiti antara 180 hingga 200 katil, asrama pelajar, kuarters kakitangan dan pusat kediaman warga emas, selain 1,500 petak tempat letak kenderaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Dr Nik Nasri yang juga pengasas FPSK menyampaikan sembah taklimat perkembangan projek berkenaan kepada Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang juga Canselor USIM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 8:17 PM