BERSAMA pelajar sekolah yang diraikan.
BERSAMA pelajar sekolah yang diraikan.
SALING membantu ketika membersihkan surau.
SALING membantu ketika membersihkan surau.
MELAYAN kerenah pelajar menerusi aktiviti di dalam kelas.
MELAYAN kerenah pelajar menerusi aktiviti di dalam kelas.
Amirul Afif Misnan


Seramai 32 siswa Sekretariat Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyalurkan khidmat bakti kepada komuniti Muslim di Kampung Kilimu, Ranau, Sabah baru-baru ini selain turut mengadakan lawatan ilmiah ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengarah program, Muhammad Akid Hafriz berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara warga kampus dengan masyarakat selain memberi pendedahan kepada peserta menjalankan tanggungjawab sosial.

“Pada masa sama, kami berharap aktiviti yang dijalankan ini mampu membuka lebaran baru kepada komuniti sasaran terutama dalam aspek penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengukuhan keagamaan.

“Bagi peserta pula, diharap mereka memperoleh pengalaman berharga terutama ketika melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, sekali gus meningkatkan lagi kesedaran untuk berbakti kepada golongan itu selepas ini.

“Kunjungan ini membuka ruang kepada penduduk kampung mencuba ‘teknik baru’ dalam perubatan selain ubat-ubatan hospital dan rawatan tradisional yang lain,” katanya.

Antara aktiviti dijalankan bersama penduduk kampung adalah rawatan terapi perubatan Islam oleh Man Ana Therapy Centre dengan mempelajari teknik akupuntur dan berbekam secara betul serta aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung selain surau.

Kunjungan ke UMS pada hari ketiga memberi peluang kepada siswa USIM dan UMS saling berkongsi idea serta maklumat aktiviti untuk diadaptasi ke institusi masing-masing.

Sementara lawatan ke Sekolah Rendah Islam, Kota Kinabalu juga dimanfaatkan dengan menjalankan aktiviti bersama membabitkan pelajar tahun tiga dan lima berkaitan subjek Sains dan Sejarah.

Program itu juga menerapkan ilmu Naqli dan Aqli dengan objektif memperoleh pendedahan awal USIM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 10:56 AM