BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 1.3 juta pelajar pra-universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara boleh memohon Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 mulai sekarang.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata BB1M akan didebitkan ke dalam Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) yang diselaraskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui agensinya, Bank Rakyat.

"Kajian yang dilakukan mendapati Bank Rakyat menawarkan sistem terbaik dan sebab itulah ia dipilih untuk membekalkan kad berkenaan kepada pelajar," katanya.

Idris berkata kerajaan memperuntukan RM300 juta seperti diumumkan Perdana Menteri ketika semasa pembentangan Bajet 2017 bagi menjayakan program BB1M itu.

Menurutnya melalui penggunaan kad debit itu, pelajar tidak lagi terhad membeli buku, sebaliknya boleh menggunakannya untuk membeli perisian komputer dan peralatan pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 11:10 PM