Pengunjung menikmati pemandangan Putrajaya di Cruise Tasik Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Pengunjung menikmati pemandangan Putrajaya di Cruise Tasik Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Orang ramai yang menderma darah sempena Hari Terbuka Marina Putrajaya (HTMP) Ahad ini berpeluang menaiki Cruise Tasik Putrajaya secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya Sdn Bhd (MPSB) Datuk Zaharah Salamat berkata, pelaksanaan program derma darah itu adalah salah satu aktiviti diadakan kepada orang ramai.

Katanya, HTMP yang julung kalinya diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan adalah usaha pihaknya memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kemudahan di Marina Putrajaya, Presint 5, di sini.

"Oleh itu, kita terpanggil melaksanakan program derma darah bagi meningkatkan simpanan bank darah negara sekali gus dapat membantu mereka yang memerlukan.

"Jadi, mana-mana individu yang menderma darah pada hari berkenaan akan diberi baucer menaiki Cruise Tasik Putrajaya secara percuma," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zaharah berkata, selain itu, orang ramai juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak 50 peratus untuk menggunakan semua kemudahan yang sedia seperti kolam renang, gimnasium, sauna dan mandian wap, karaoke, snuker dan skuasy.

"Malah, kami juga menawarkan diskaun sehingga 20 peratus bagi pembelian atau tempahan pakej termasuk perkahwinan, kerja dalam kumpulan, seminar dan mesyuarat," katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan antaranya pameran perkahwinan, jualan gerai makanan, jualan produk harian, car boot sale dan berkelah beramai-ramai di Laman Kayangan.

“Saya berharap, hari terbuka kali ini mendapat sambutan ramai sekali gus membantu pihak kami untuk menggubah tanggapan masyarakat mengenai Marina Putrajaya yang dikatakan sebagai tempat eksklusif dan terhad untuk golongan elit saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 6:54 PM