MARINA Putrajaya tawar penjimatan sehingga 50 peratus.
MARINA Putrajaya tawar penjimatan sehingga 50 peratus.
myMetro

Putrajaya: Golongan wanita berpeluang menikmati diskaun sebanyak 50 peratus untuk bayaran masuk bagi semua fasiliti Marina Putrajaya, Presint 5, di sini, menerusi pakej ‘Ladies Hour’ ditawarkan khusus untuk mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya Sdn Bhd Datuk Zaharah Salamat berkata, pakej berkenaan ditawarkan setiap Jumaat bermula jam 11.45 pagi hingga 3.15 petang saja.

Menurutnya, antara kemudahan yang boleh dinikmati menerusi pakej itu ialah kolam renang (RM2.50 berbanding harga normal RM5); gimnasium dan studio aerobik (RM5 berbanding harga asal RM10) serta mandian stim dan bilik sauna (RM7.50 berbanding harga asal RM15).

“Seterusnya kemudahan lain iaitu gelanggang skuasy (satu jam) berharga RM7.50 (harga asal RM15); karaoke bilik VIP selama satu jam berharga RM25 (harga asal RM50) dan permainan dart (satu jam) berharga RM2.50 (harga asal RM5) manakala, semua harga asal tertakluk kepada enam peratus caj cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Bukan itu saja, pengunjung berpeluang memanjakan diri dengan rawatan spa disediakan di kawasan kolam renang, malah mereka juga berpeluang menggunakan kemudahan kolam renang kerana pakej berkenaan berlangsung di kawasan itu yang ditutup khas untuk golongan wanita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sepanjang penggunaan kolam renang pada waktu berkenaan, semua petugas yang ditugaskan di situ adalah wanita, sekaligus ia lebih privasi dan memberi keselesaan kepada pelanggan terbabit.

Sementara itu, Zaharah berkata, pakej untuk wanita terbabit dilancarkan sejak 28 Oktober lalu dan pengunjung dalam kalangan golongan itu meningkat mendadak memandangkan ia mendapat sambutan hangat.

“Kebiasaannya waktu tengah hari pada Jumaat di Marina Putrajaya agak lengang, namun selepas program ini dilancarkan, suasana di sini terutama di kawasan kolam renang nampak lebih meriah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:57 AM