DR Aini (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Zulkarnain (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mohd Azmi (kiri) dan Mohammad Hamiruce (kanan).
DR Aini (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Zulkarnain (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mohd Azmi (kiri) dan Mohammad Hamiruce (kanan).
Mohamad Hussin

Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2016 Universiti Putra Malaysia (UPM) menampilkan lebih 200 penyelidikan berimpak tinggi.

Pameran bertemakan Pertanian, Inovasi dan Kehidupan itu bertujuan menyediakan platform bagi mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi UPM yang mempunyai penerbitan serta perlindungan harta intelek.

Ia juga membuka peluang pasaran dan jaringan kepada industri, pemberi dana serta umum.

Pameran itu menjadi medan saringan kepada penyelidikan sebelum layak untuk menyertai pertandingan di peringkat lebih tinggi.

Terdapat 11 kluster yang dipamerkan iaitu pertanian dan makanan, sains gunaan dan kejuruteraan, biosistem dan bioteknologi, perniagaan, ekonomi, alam sekitar, tenaga, perhutanan, biodiversiti, kemanusiaan, sains halal dan pengurusan.

Selain itu, pembangunan nusa bangsa, kesihatan dan kesejahteraan hidup, teknologi maklumat dan komunikasi serta teknologi bahan.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, penganjuran PRPI 2016 penting dan memberi makna yang besar dalam usaha mengiktiraf penyelidikan di universiti, seterusnya membawa hasil penyelidikan kepada masyarakat.

Beliau berkata, UPM terus unggul dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan keusahawanan (RDCE) di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Dalam konteks pencapaian inovasi, UPM sentiasa komited dalam memastikan setiap hasil idea inovasi yang dihasilkan di universiti dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Hingga kini, UPM sudah melesenkan sebanyak 115 harta intelek dengan nilai jualan kasar sebanyak RM55.75 juta. Angka berkenaan merangkumi kira-kira lima peratus daripada jumlah hasil intelek universiti dan sudah mencapai sasaran piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan PRPI 2016 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UPM merangkap Pengerusi Jawatankuasa PRPI 2016, Prof Dr Mohammad Hamiruce Marhaban.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Zulkarnain Muhammad.

Aini berkata, beberapa produk inovasi UPM turut berjaya menembusi pasaran di lapan negara.

“Bersesuaian dengan tema pameran kali ini kerana ia bertepatan dengan inisiatif kerajaan mengisytiharkan 2016 sebagai tahun pengkomersialan produk inovasi dalam pelbagai bidang untuk dipasarkan di peringkat global.

“Dalam era k-ekonomi kini, peranan penyelidik dalam penjanaan impak kepada pembangunan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kritikal dan harus diperkasa.

“Ia selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Melalui platform seperti PRPI ini, usaha memperkasa penyelidik melalui kolaborasi strategik dan penyebarluasan hasil inovasi diharap dapat membentuk rantaian nilai komersial yang lestari serta produktif,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyertaan dalam Pembangunan Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) antara UPM dengan MyIPO.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 7:12 AM