MEMANTAU pelajaran anak yatim.
MEMANTAU pelajaran anak yatim.

Prihatin dengan golongan kurang bernasib baik terutama anak yatim mendorong ibu muda, Azmahani Basir, 24, bersama suaminya, Mohd Zatullah Kamarudin, 25, membuka pusat jagaan anak yatim.

Biarpun menyedari tugas dan tanggungjawab menjaga anak kurang bernasib baik itu berat, ia tidak mematahkan semangatnya untuk merealisasikan niat suci berkenaan dan berkongsi kesusahan bersama.

Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina yang beroperasi di sebuah rumah sewa di Taman Satria, Senawang, Negeri Sembilan itu dibuka awal tahun ini dan kini menempatkan seramai enam orang termasuk seorang yatim piatu berusia seawal tujuh sehingga 14 tahun.

Azmahani berkata, pusat berorientasikan kebajikan itu bagi memelihara dan menjaga nasib anak yatim dan miskin melalui pendidikan yang berteraskan Islam.

Katanya, kesedaran itu timbul selepas kedua-dua ibu dan bapa mentuanya meninggal dunia kerana penyakit buah pinggang dan kanser paru-paru pada 2007 dan 2016.

“Suami mencadangkan supaya kami membuka pusat penjagaan anak yatim dan kurang bernasib baik. Selepas mengambil kira pelbagai aspek, saya bersetuju dengan cadangan itu kerana sebelum ini kami pernah membantu menguruskan pertubuhan anak yatim.

“Selain itu, suami juga pernah menjadi tenaga pengajar pusat pengajian al-Quran dan rumah kebajikan yang boleh membantu dalam melancarkan pengurusan rumah penjagaan ini,” katanya.

Pasangan suami isteri itu yang juga bekas penuntut Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), masing-masing memiliki diploma iaitu Azmahani dalam bidang dakwah manakala Mohd Zatullah ialah lulusan syariah dan undang-undang.

Azmahani yang juga ibu kepada seorang anak berusia setahun mengakui berasa simpati dan sering hiba apabila mengenangkan kehidupan anak-anak kurang bernasib baik itu, sekali gus mahu memastikan nasib dan masa depan mereka terjamin terutama dari aspek pendidikan.

Justeru, katanya, dia dan suami membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai tenaga pengajar di sebuah rumah anak yatim dan maahad tahfiz di negeri berkenaan, hujung tahun lalu.

Menurutnya, anak yatim dan yatim piatu yang ditempatkan di pusat jagaan terbabit berasal dari sekitar Negeri Sembilan dan Johor.

“Melihat anak yatim dan kanak-kanak yang kehilangan tempat bergantung, hati saya jadi sayu dan sebab itulah keinginan kami berdua membuak-buak untuk membantu mereka.

“Saya akui ia bukan satu tugas yang mudah terutama kami hanya orang biasa, tapi, rasa bersalah pula jika tidak membantu.

“Berbekalkan sedikit duit simpanan, kami menyewa sebuah rumah dan melengkapkan beberapa peralatan untuk dijadikan asrama. Saya anggap ia sebagai suatu pengorbanan,” katanya.

Azmahani berkata, pada peringkat awal sememangnya terasa agak berat kerana semuanya memerlukan kos tetapi bebanan itu menjadi ringan apabila ramai individu yang membantu dan menghulurkan sumbangan wang dan makanan.

Dia yang bertindak sebagai tenaga pengajar pusat jagaan berkenaan bagi membantu suaminya, kini mengakui berasa seronok dan sangat bersyukur kerana niatnya untuk membantu dan memelihara anak yatim menjadi kenyataan.

Mohd Zatullah berkata, pihaknya turut membuat saringan dan siasatan ketika memilih anak yatim yang ditempatkan di situ terutama dari segi latar belakang keluarga bagi mengelakkan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas usaha mereka itu.

“Kami hanya mengambil anak yatim yang layak termasuk mengenal pasti keluarga sama ada mereka betul-betul tidak berkemampuan atau sengaja menghantar anak ke situ atas sebab tertentu,” katanya.

Selain dihantar ke sekolah kebangsaan, anak yatim terbabit juga mendapat pendedahan dalam pengajian al-Quran.

“Kami berharap melalui penubuhan pusat jagaan ini, masa depan anak yatim ini akan lebih terjamin terutama dalam membantu mereka menjadi insan yang baik dan berjaya,” katanya. - Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 6:59 AM