KJ tarik diri jika TMJ bertanding.FOTO HM/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
KJ tarik diri jika TMJ bertanding.FOTO HM/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin masih tetap dengan pendiriannya untuk tidak bertanding sekiranya Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan diketahui keputusannya pada petang ini.

Khairy berkata, beliau akan memberi laluan terlebih dahulu kepada pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk bertanding menyandang jawatan terbabit.

"Sebelum ini, saya sudah bertemu dengan ahli gabungan FAM namun, pendirian saya tetap tidak akan berubah.

"Bagaimanapun, keputusan muktamad akan diambil hari ini dan saya akan berjumpa dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd AminĀ (untuk berbincang mengenai pencalonannya)," katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) di sini, hari ini.

Teka-teki mengenai calon yang akan bertanding bagi merebut jawatan tertinggi FAM itu akan terjawab pada petang ini apabila semua calon menghantar borang masing-masing.

Terdahulu, Khairy bersama tiga individu lain termasuk TMJ; Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat mendapat pencalonan untuk bertanding bagi jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM ke-53, bulan depan.

Sehingga kini, hanya Annuar yang mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan terbabit.

Mengulas mengenai pergaduhan yang membabitkan penyokong Sarawak dan Pulau Pinang dalam perlawanan Liga Super di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Sabtu lalu, beliau berkata, pengurusan baharu FAM perlu mencari jalan penyelesaian bagi menangani kejadian pergaduhan membabitkan penyokong bola sepak tanah air supaya perkara yang sama tidak berulang lagi.

Dalamkejadian kira-kira jam 11 malam itu, enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di luar stadium sejurus tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 1:14 PM