KO NI
KO NI

Yangon: Suspek kedua yang disyaki terbabit dalam pembunuhan peguam Muslim terkenal di Myanmar ditangkap.

Akhbar milik kerajaan, Global New Light of Myanmar mengesahkan suspek terbabit ditangkap 12 jam selepas pembunuhan berkenaan.

Penangkapan Aung Win Zaw, 46, di negeri Kayin pada 30 Januari itu disahkan selepas beberapa kenyataan yang bercanggah mengenai siasatan terhadap pembunuhan Ko Ni, 63, penasihat guaman Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi yang diketuai Aung San Suu Kyi di lapangan terbang Yangon Ahad lalu ketika dia mendukung cucunya sementara menunggu teksi.

Seorang pemandu teksi yang cuba mengejar pembunuh itu juga dtembak mati sementara penyerang, Kyi Lin, 53, ditangkap di tempat kejadian.

Akhbar berkenaan melaporkan, Win Zaw dipercayai terbabit merancang jenayah itu.

Polis sehingga semalam masih belum menawarkan sebarang motif mengenai pembunuhan Ko Ni yang lantang menyuarakan bantahan terhadap sentimen anti-Islam dalam kalangan masyarakat Buddha dan juga mengkritik usaha tentera negara itu untuk terus berkuasa.

Upacara pengebumian Ko Ni Isnin lalu dihadiri puluhan ribu orang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:07 AM