KERATAN laporan Harian Metro pada 29 Januari.
KERATAN laporan Harian Metro pada 29 Januari.


Bukit Mertajam: PERHILITAN Pulau Pinang memasang dua perangkap buaya di Sungai Mati, Penanti, di sini, dalam usaha menangkap reptilia itu.

Ketua Perhilitan Daerah Seberang Perai, Mohamad Zainuddin Busrah, berkata pihaknya memasang satu perangkap di dalam Sungai Mati manakala satu lagi dipasang di atas tebing berhampiran sungai berkenaan.

“Selepas menerima laporan berhubung kehadiran buaya di kawasan Kampung Kubu, Perhilitan membuat pemantauan dan sehingga ini tidak nampak kelibat reptilia itu.

“Oleh itu, kami memilih untuk memasang dua perangkap buaya dan menggunakan ayam sebagai umpan bagi kedua-dua perangkap tersebut,” katanya.

Mohamad Zainuddin berkata, penduduk dilarang menghampiri kawasan itu atau melepasi tali kuning yang dipasang bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, buaya yang dianggarkan sepanjang tiga hingga empat meter itu dipercayai datang dari Sungai Prai, dekat sini sebelum tersesat di Sungai Mati.

Sementara itu, penduduk, Abdullah Mat, 39, berkata sejak seminggu lalu, dia melarang dua anak lelakinya bermain di kawasan berhampiran Sungai Mati kerana bimbang sekiranya tiba-tiba buaya itu timbul.

Dia berkata, selalunya dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun itu bermain di kawasan itu kerana terdapat tempat lapang berhampiran sungai dan menjadi tumpuan kanak-kanak bermain bola sepak.

“Selain saya, penduduk lain juga tidak benarkan anak-anak mereka bermain di situ malah kami juga tidak berani memancing ikan di Sungai Mati lagi,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, Harian Metro melaporkan penduduk Kampung Kubu, Penanti, gempar buaya dilihat di kawasan semak dekat rumah penduduk.

Kehadiran reptilia itu disedari penduduk yang kemudian menghubungi Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan bantuan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, dipetik berkata mereka menerima panggilan pada 4.15 petang, 28 Januari.

“Kita melakukan operasi mencari reptilia berkenaan namun gagal ditemui.

"Kita percaya buaya terbabit kemungkinan sudah kembali ke kawasan sungai berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:06 PM