DR Ismail (dua dari kanan) dan Rina (dua dari kiri) selepas melancarkan produk Iman No.1.
DR Ismail (dua dari kanan) dan Rina (dua dari kiri) selepas melancarkan produk Iman No.1.

Walaupun pelbagai cabaran ditempuh, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat usahawan ini mempopularkan produk Iman No. 1 yang mendapat sambutan menggalakkan hingga ke pasaran luar negara.

Jerih-perih membangunkan syarikat membuahkan hasil apabila produk sosnya semakin dikenali dan digemari semua peringkat usia.

Pengarah Urusan Garis Concept Sdn Bhd Datin Rina Md Kail berkata, produk Iman No 1 semakin berkembang dan mendapat sambutan yang baik daripada pengguna.

Beliau berkata, kini Iman No. 1 sudah meluaskan pasarannya dengan mengeluarkan makanan sejuk beku yang pasti lebih sedap, berkualiti dan memudahkan aktiviti memasak harian.

“Antara makanan sejuk beku yang dikeluarkan adalah daging kambing perapan sos lada hitam, daging lembu perapan sos lada hitan dan ‘chicken chop.’

“Iman No. 1 juga mengeluarkan pelbagai jenis sos dan perasa makanan seperti kicap kacang soya manis, kicap kacang soya masin, sos cili, sos berperisa tiram, sos BBQ premium, sos BBQ cendawan dan sos BBQ ‘hot & spicy.’

“Produk Iman No. 1 dijual serendah RM2.50 hingga RM13.20 dan boleh didapati di seluruh rangkaian pasar raya besar di seluruh negara. Selain mempunyai rasa tersendiri dan enak ia juga adalah produk halal.

“Kami tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah. Ada juga perancangan untuk membangunkan sebuah kilang baru di Selangor tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran produk Iman No. 1 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Rina berkata, walaupun baru setahun produk ini berada di pasaran, ia berjaya menerima sambutan luar biasa hingga meraih jualan sehingga RM3 juta dalam tempoh itu.

“Proses pengeluaran dihasilkan menerusi kilang sendiri di Kuantan, Pahang. Namun kapasiti pengeluaran sangat terhad dengan jumlah 3,000 unit bagi setiap produk dalam tempoh sehari.

“Jumlah pengeluaran belum mencukupi untuk menampung permintaan di seluruh negara. Oleh itu, saya merancang membuka sebuah kilang di Selangor dan dijangka beroperasi pada Februari depan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak gentar pada persaingan pelbagai produk masa kini dan mengganggap ia sebagai rezeki masing-masing.

Bagi meningkatkan lagi kualiti produknya, beliau menjalin kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Produk Iman No. 1 juga sudah memasuki pasaran luar seperti Singapura, China dan negara Timur Tengah,” katanya. -Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 5:15 AM