SHARIFAH bersama produk keluaran syarikatnya.
SHARIFAH bersama produk keluaran syarikatnya.
BERNAMA

Kuala Kangsar: Pengeluar kicap terkenal jenama Tamin, Kumpulan Tamin merancang untuk menembusi lebih banyak pasaran luar negara termasuk Turki dan Eropah secara kerjasama dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi memperkenalkan Kicap Perdana dan beberapa produk keluarannya.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sharifah Mohd Tamin berkata, syarikat itu akan pergi ke Turki pada November ini dan ke London pada Disember untuk mempromosikan produk Kicap Perdana dan juga sos bawang putih serta sos cili sebelum memasarkannya pada tahun hadapan.

"Produk ini diperkenalkan pada pameran perniagaan dan kita juga akan pergi ke Pakistan untuk memperkenalkan kicap Tamin," katanya ketika ditemui Bernama di kilang kicap tersebut yang terletak di Enggor, dekat sini, baru-baru ini.

Sharifah berkata kira-kira 2,000 karton produk Kicap Perdana dieksport ke Vietnam setiap bulan susulan permintaan tinggi dari negara berkenaan selain turut dieksport ke Jepun manakala Kicap Mee pula mendapat permintaan di Brunei.

Menyingkap sejarah syarikat bumiputera terkenal milik anak kelahiran Perak itu, beliau berkata, bapanya arwah Mohd Tamin memulakan perniagaan tersebut pada sekitar 1951 di Batu Gajah dengan berbekalkan modal permulaan hanya RM10.

Sejak itu produk kicap jenama Tamin mula diminati ramai dan mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan penduduk setempat.

Setakat ini, katanya, kumpulan itu berjaya membuka dua kilang moden di Batu Gajah dan Enggor serta melakukan pengeluaran sebanyak puluhan ribu botol sos dan kicap sehari bagi menampung permintaan berbanding hanya ratusan botol sehari pada awal penubuhannya.

Menurut Sharifah, Kumpulan Tamin menyasar untuk mempelbagaikan pengeluaran kepada pelbagai jenis produk seperti sos cili, sos tomato, cuka, asam jawa, kordial, kerisik, taucu (kacang masin) dan pelbagai jenis kicap serta membuka gudang di Sungai Buloh, Selangor.

Legasi perniagaan Mohd Tamin itu diteruskan oleh anak dan cucu-cucu beliau melalui Syarikat Salmi Hj Tamin Sdn Bhd, Syarikat Zamani Hj Tamin Sdn Bhd dan Maju Tamin Trading Sdn Bhd sehingga kini yang merupakan pengeluar kicap Bumiputera yang masih kekal menggunakan proses fermentasi semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 10:56 AM