FARAH Dhiya di hadapan Upeh Cafe.
FARAH Dhiya di hadapan Upeh Cafe.
Oleh Mohamad Hussin


Hasrat untuk menembusi pasaran antarabangsa bakal menjadi kenyataan apabila produk keropok lekor yang diberi nama Upeh Lekor akan dipasarkan tahun ini.

Pemilik Farah D Empire Sdn Bhd yang mengeluarkan produk jenama Upeh, Farah Dhiya Che Samsudin, 25, berkata dia menggarap semula Upeh Lekor bagi memastikannya memenuhi cita rasa masyarakat di seluruh dunia.

Katanya, beliau cuba membawa revolusi makanan Melayu ke peringkat antarabangsa dengan mempromosikan Upeh Lekor, antaranya Lekor Original, Lekor Lada Hitam, Lekor Bawang Putih dan Lekor Serai.

“Idea mengeluarkan Upeh Lekor timbul ketika saya belajar di United Kingdom (UK). Pada masa itu keluarga sering mengirim makanan sejuk beku seperti sambal bilis, rendang daging, kerutub dan gulai ayam.

“Hendak dijadikan cerita, peti sejuk rumah sewa saya rosak lalu saya menyimpannya di rumah kawan yang didiami pelbagai bangsa.

“Apabila hendak mengambil semula, saya terkejut kerana makanan itu sudah habis dimakan. Dari situ saya terfikir mahu membuat sesuatu makanan popular negara untuk dikomersialkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Upeh Cafe, Ara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Farah Dhiya yang juga Ikon Kelab Usahawan Siswazah Tani (MYAGROSIS) berkata, selepas pulang ke tanah air, beliau menyambung pengajian dalam bidang masakan di sebuah kolej terkemuka di Bandar Sunway, Selangor.

“Selepas tamat pengajian saya membuka perniagaan sendiri dengan menubuhkan Farah D Empire pada tahun 2014. Saya dan ibu membuat sendiri inovasi Upeh Lekor bagi memenuhi cita rasa pelanggan antarabangsa.

“Sasaran saya untuk memasarkan ke peringkat antarabangsa. Kita kena ubah sedikit formula agar ia seperti masakan barat supaya mereka dapat terima makanan kita.

“Insya-Allah, produk saya akan menembusi pasaran di China, Singapura, Brunei dan Asia Barat kerana mendapat permintaan menggalakkan,” katanya.

Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada pelancong asing ketika sambutan ulang tahun ke-50 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), rata-rata memuji kesedapan Upeh Lekor.

“Produk Upeh Lekor rangup di luar, lembut di dalam dan dihasilkan dalam bentuk sejuk beku dan boleh dinikmati bila-bila masa.

“Upeh Lekor apabila digoreng dan dibiarkan lama tidak keras serta tidak terlalu berbau ikan. Selain Upeh Lekor, saya juga membuat empat sos pencecah antaranya sos klasik (manis dan pedas), lada hitam dan cendawan berasaskan sentuhan Perancis,” katanya.

Katanya, syarikat­nya turut membangunkan francais dengan kerjasama FAMA dikenali sebagai Upeh Lekor Bar dan buat permulaan, seorang usahawan muda akan mengendalikannya di Shah Alam, awal tahun ini.

Mereka yang berminat menyertai francais itu boleh menghubungi Farah Dhiya melalui e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:32 AM