GAMBAR disiarkan Kementerian Luar Israel menunjukkan Istibsyaroh (duduk kiri) bersama Rivlin (duduk kanan) di Tel Aviv. - Agensi
GAMBAR disiarkan Kementerian Luar Israel menunjukkan Istibsyaroh (duduk kiri) bersama Rivlin (duduk kanan) di Tel Aviv. - Agensi

Jakarta: Ketua Suruhanjaya Remaja dan Keluarga Majlis Ulama Indonesia (MUI), Istibsyaroh dikritik selepas dia dan rombongannya melawat Israel dan bertemu dengan Presiden Reuven Rivlin di Tel Aviv.

Laman sesawang Kementerian Luar Israel menyiarkan gambar menunjukkan Istibsyaroh bersama beberapa individu bergambar dengan Rivlin.

Gambar yang disiarkan pada Rabu lalu itu bersama satu kenyataan bertajuk Presiden Rivlin bertemu dengan pemimpin Islam dari Indonesia.

Lawatan Istibsyaroh menimbulkan kemarahan beberapa pihak yang mendakwa ia bertentangan dengan dasar Indonesia yang tiada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

Timbalan ketua suruhanjaya agama di Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Sodik Mudjahid berkata, bangsa Indonesia sudah bertekad tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel sehingga tiada sebarang bentuk pertemuan pun.

“Pertemuan itu melukakan hati penduduk Indonesia lebih-lebih lagi Israel didakwa mahu memindahkan ibu negaranya ke Baitulmaqdis,” katanya kepada Detik News.

Sementara itu, MUI menegaskan, lawatan Istibsyaroh dan rombongannya ke Israel adalah bersifat peribadi dan tiada kena mengena dengan badan itu.

“MUI tetap mengambil berat dan terus komited mempertahankan Palestin,” kata bendahari MUI, Dr Amany Lubis.

Istibsyaroh dilaporkan memberitahu bahawa lawatannya ke Israel itu untuk membincangkan isu Masjid Al-Aqsa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 5:50 AM