Keadaan lori kontena yang terbabas dan merempuh papan tanda lebuh raya. FOTO ihsan bomba
Keadaan lori kontena yang terbabas dan merempuh papan tanda lebuh raya. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak


Bidor: Seorang pemandu lori kontena maut selepas kenderaan itu terbabas di Kilometer 351.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa, Haris Fadzilah Samot, 52, meninggal dunia akibat tersepit manakala kelindannya berusia 32 tahun cedera akibat tercampak dari kenderaan.

Lori kontena tanpa muatan itu dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan terbabas hingga merempuh papan tanda lebuh raya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor Mohd Nadzir Abdul Razak berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian pada jam 2.28 petang.

"Kemalangan mengakibatkan pemandu lori tersepit di tempat duduk manakala kelindan tercampak keluar dari kenderaan," katanya.

Menurutnya, pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan paramedik manakala kelindan hanya cedera ringan.

"Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mayat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 8:34 PM