Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Seorang pekerja kilang cedera kaki kanan selepas kereta dipandunya berpusing dan merempuh beberapa kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 56.5 Jalan Alor Setar-Butterworth, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian 7 malam itu, lelaki berusia 24 tahun itu memandu kereta Honda Civic dari arah Taman Ria menghala ke Pekan Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandunya di lorong tengah hilang kawalan dan merempuh Honda City dinaiki seorang pegawai polis lelaki berusia 39 tahun bersama anak lelakinya berusia lima tahun.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan kereta dipandu operator kilang terbabit berpusing dan merempuh Proton Savvy dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pesara tentera.

"Akibatnya, kereta dipandu pesara tentera terbabit terlajak dan terlanggar motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

KERETA dipandu pekerja kilang berpusing dan merempuh beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Sungai Petani, malam kelmarin. FOTO ihsan polis
KERETA dipandu pekerja kilang berpusing dan merempuh beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Sungai Petani, malam kelmarin. FOTO ihsan polis

"Selain pekerja kilang itu, seorang lelaki yang juga penumpang keretanya berusia 25 tahun cedera kaki kanan, anak inspektor polis cedera kaki kanan serta mulut dan pengawal keselamatan cedera kaki kiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian semua kenderaan terbabit dari arah sama dan sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke kanan menuju Lagenda Height.

Menurutnya, semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (A)J) 1987.

Adzli berkata, hasil siasatan awal juga mendapati pemandu Honda Civic yang juga pekerja kilang itu tidak mempunyai lesen memandu.

Kemalangan terbabit tular di media sosial apabila video berdurasi seminit itudirakam kamera 'dashcam' milik pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 11:15 PM