Noor Hidayah Tanzizi

Lumut : Lima awak-awak dan tekong warga Indonesia diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas bot mereka terbakar, 20 batu nautika barat daya Tanjung Sauh di perairan Selangor, 4.50 petang semalam.

Asisten Ketua Staf Operasi Markas Pemerintahan Armada TLDM, Kapten Azman Rabani berkata, bot nelayan milik warga tempatan itu diselamatkan Kapal Diraja (KD) Kinabalu yang sedang menjalankan operasi di kawasan berhampiran.

"Anggota KD Kinabalu yang menyaksikan kejadian itu melaporkan kepada Pusat Operasi Armada dan segera memberikan bantuan pemadaman api yang berjaya dikawal sepenuhnya.

"Kebakaran itu mengakibatkan kerosakan besar kepada bot dan menyebabkan ia tenggelam separuh namun semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya pada sidang media di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Azman berkata, bot mangsa kemudian ditarik dengan bantuan bot nelayan lain manakala semua mangsa dibawa ke Pangkalan TLDM untuk diserahkan kepada pemilik bot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 10:09 AM
AZMAN (kiri) bersama Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramly (kanan) dan Pegawai Memerintah KD Kinabalu, Leftenant Komander Mohamed Hafez Mohamed Dali (dua kanan) berbual dengan lima awak-awak termasuk tekong yang diselamatkan. FOTO Muhaizan Yahya